Tiada Yang Lain

0

Category:

Jika saya ditanya, siapakah lelaki paling penting dalam hidup, pasti jawapan saya adalah ABAH. Hampir 23 tahun dibesarkan oleh abah, saya begitu mengaguminya. Seingat saya, pernah dulu saya menulis sesuatu tentang abah http://nuwairahazzahra.blogspot.com/2008/10/maafkan-adik-abah.html. Seringkali saya menjadikan ruang maya ini tempat meluah rasa cinta saya yang tiada gantinya buat abah dan mama. Hari ini saya mahu menulis lagi, tentang lelaki terpenting yang amat saya sayangi...

Menjadi satu-satunya anak perempuan dalam keluarga begitu mengajar saya hidup sendiri. Saya tidak pernah merasa apa ertinya berkongsi rasa dan barang milik dengan mana-mana adik beradik perempuan lain.Saya perlu belajar sendiri-ini yang selalu menjadi prinsip saya sejak kecil. Mujur kadangkala ada sepupu yang mahu berkongsi dengan saya, sama ada cerita, atau barang milik. Tetapi yang nyata, saya diajar berdikari. Ditambah pula dengan sikap abah yang tegas dan begitu teliti menjadikan saya juga seorang yang tegas dan tidak mudah berkompromi (insya Allah sekarang tidak lagi ^-^).

Abah adalah individu penting yang membawa dan melatih saya menjadi seorang pemidato dan aktif dalam ko-kurikulum. Saya masih ingat saat abah melatih saya dalam persediaan ke pertandingan bercerita peringkat kebangsaan tahun 1999 di Perlis. Itulah kali pertama saya mewakili sekolah hingga ke peringkat kebangsaan. Abah dan mama juga pergi bersama saya, sebagai pembakar semangat. Nyatanya pada ketika itu, tidak pernah langsung terlintas di fikiran saya bahawa ia akan menjadi titik mula dalam saya membina diri. Meskipun begitu, saya yakin abah sudah memikirkannya. Sejak itu, abah menjadi tulang belakang kuat yang sentiasa mendorong saya untuk mencari nilai tambah dalam diri. Saya mula menyertai pelbagai pertandingan hingga ke peringkat kebangsaan. Dan abah, terus kekal mempercayai kemampuan saya ketika itu,walaupun ada kalanya keputusan peperiksaan semester saya merosot. Ternyata, abah sememangnya penyebab utama mengapa saya pada waktu itu masih bertahan dalam susah payah membentuk identiti. Terima kasih, abah!

Tahun 1996, kali pertama saya mengalami kemalangan jalan raya. Buat masa sekarang, itulah satu-satunya kemalangan yang pernah saya alami. Ketika itu, saya bersama abah dan seorang kawan dalam perjalanan ke perpustakaan daerah. Kemalangan itu benar-benar memberi kesan dalam hidup saya.Saya menjerit memanggil abah yang pada waktu itu cuba dikeluarkan dari tempat duduk pemandu. Saya sangat-sangat takut kehilangan abah. Namun alhamdulillah, semuanya selamat.Kesannya selepas itu, saya seperti trauma. Bila saja abah lambat balik ke rumah dari bandar atau kursus, pasti saya tidak senang duduk menunggu di rumah.Puncanya- saya amat takut kehilangan abah!

Kini, bila berjauhan, kenangan begitu datang lagi. Didikan abah benar-benar membentuk jiwa saya untuk menjadi seorang yang ingin berdiri di kaki sendiri. Pesanan-pesanan abah sentiasa berada dekat. Teringat lagi doa-doa yang abah imami selepas selesai solat jemaah yang sentiasa membuatkan saya menitiskan air mata- "permudahkan urusan anak-anak kami dan jadikan mereka anak yang soleh yang berbakti kepada agama dan negara...". Ternyata hati kebapaan nya begitu memahami dan merasai besarnya dugaan di alam remaja dan mahasiswa yang kini dirasai oleh anak-anaknya. Dia sentiasa menasihati dengan ketegasannya tetapi tetap dalam kelembutan. Hari bapa kali ini, tiada hadiah istimewa yang mampu saya berikan. Hanya pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang saya buat. Namun, ia masih tetap suatu yang istimewa buatnya.Terima kasih abah atas segala pengorbananmu membesarkanku.Ampunkanlah setiap kesalahan dan dosa-dosaku padamu. Akan ku ingati setiap nasihatmu, semoga dengan itu Allah meredhaiku...

Ketika berjauhan masih ku rasa
Hangat kasihmu abah
Betapa ku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku
Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tidak pernah sekali-kali kau tinggalkan
Diriku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku erti kekuatan

Terpancar kebanggaan dalam senyummu
Melihat ku berjaya
Bila ku kegagalan
Tidak kau biarkan aku terus kecewa
Dengan kata azimat
Kau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan

Tidak dapat ku bayangkan hidupku abah
Tanpa engkau di sisi
Semua kasih sayang yang kau curahkan
Tersemat di hati.....

Abah, aku begitu menyayangimu...

Ikhlas,
Anakmu....
Read More