Bermujahadah Membina Tapak Keluarga

1

Category:


Melayari bahtera perkahwinan dengan strategi dan pelan tindakan yang khusus seringkali dibincangkan di banyak peringkat. Mereka yang belum bernikah lagi seperti saya pastinya bukan orang yang berautoriti untuk berbicara soal alam perkahwinan. Pastinya akan banyak cacatnya yang kelak akan membawa kepada celanya. Justeru saya menimbang-nimbang semula, aspek mana yang perlu saya bicarakan supaya akhirnya kelak boleh membuka minda golongan yang berkeluarga mahupun yang baru mengimpikannya. Lantaran itu, saya berkeputusan untuk membincangkan soal ‘pembinaan tapak keluarga’ yang saya kira sebagai batu asas penting yang sangat perlu diambil berat. A long journey begins with a single step! Dan ia tidak lain, hanyalah mencari penawar dalam permasalahan institusi kekeluargaan di negara kita yang semakin parah dan bernanah.


 Kesediaan berstatus suami dan isteri

Membina tapak sesebuah keluarga bukan hanya seperti meletak batu asas dalam membangun tanah, tetapi jauh lebih berat dari membina menara tertinggi di dunia. Perkara pertama yang perlu dipersoal kepada diri ialah soal kesediaan kita untuk memegang status suami orang atau isteri orang. Justeru hakikatnya, ringan di bibir, di hati hanya Allah yang tahu. Mulakanlah berfikir soal kewangan, makan minum, tempat tinggal dan belanja besar ketika bergelar ayah dan ibu. Bagi pelajar universiti yang hanya bergantung kepada biasiswa saban semester seperti saya, pastinya ia suatu beban yang teramatlah berat. Hidup sendiri seperti sekarang pun sudah seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, apatah lagi jika hidup berkeluarga.

Tetapi bagaimana pula dengan golongan berkerjaya dan memiliki kewangan sendiri?
Ilmu kekeluargaan itulah pula yang utama. Tapak ilmu ini malah menjadi paling penting berbanding adanya rumah dan kereta dalam fasa membina keluarga. Ilmu dari pelbagai sudut-agama, kasih sayang, kepimpinan, pengurusan kewangan, psikologi,dan pelbagai lagi ini perlu menjadi bekal sebelum bersetuju memikul tanggungjawab yang lebih besar. Jangan disebabkan kita mengambil ringan soal ini, layar perkahwinan akhirnya dikendali tanpa hala tuju!
Setelah dicongak-congak dan dipertimbangkan, jika soal kewangan dan ilmu ini tidak menjadi masalah, maka bersedialah pula untuk berhadapan dengan orang tua yang masih bertanggungjawab ke atas kita. Redha Allah terletak pada redha ibu bapa- inilah yang menjadikan perkahwinan berkat, adanya restu dan persetujuan dari ibu bapa. Saya jadi teringat kata-kata abah tersayang- perkahwinan antara suami bukan hanya dengan isteri, perkahwinan isteri juga tidak hanya dengan suami, tetapi keduanya turut ‘berkahwin’ dengan keluarga masing-masing. Janganlah sesekali perkahwinan itu dibina tanpa restu dan redha keduanya,kelak bukan bahagia yang dikecapi tapi hanya duri yang menyeksa!


Soulmate di jalan Allah
Jika peringkat membina kesediaan berkeluarga tadi telah selesai, maka diteruskan pula usaha membina tapak ini ke peringkat seterusnya- mencari soulmate di jalan Allah. Jangan terlalu dirisaukan, telah Islam mengajarkan kepada manusia bagaimana caranya memilih pasangan. Bagi kaum adam, jadikan hadis di bawah sebagai panduan.

Maksudnya: Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan. (Muttafaq ‘alaih).

 Sahabat golongan hawa pula, ambillah iktibar dan pengajaran ayat Allah SWT di bawah ini:




 Adakah semudah itu sifirnya? Pasti tidak. Yang paling mustahak, asasnya ialah- mencari soulmate perlulah di jalan Allah, di jalan dakwah dan tarbiyah islamiyah. Matlamat akhirnya bagaimana pula? Pastinya demi Islam, demi kesinambungan perjuangan aqidah yang telah dimulakan oleh para rasul dan nabi terdahulu. Bukan kerana cantiknya seorang wanita, manisnya senyumannya atau ayunya tawanya. Bukan juga kerana ketampanan seorang lelaki, ke-macho-annya atau kekayaan hartanya. Jika semua ini yang dicari, bersedialah berhadapan dengan kegagalan berumahtangga!

Menguruskan hubungan



Inilah peringkat terakhir sebelum termeteri sebuah aqad penerimaan tanggungjawab. Bagaimana mahu mengulasnya? Saya juga bukan orang yang paling berautoriti. Tetapi saya ingin berusaha mendatangkan tips dan nasihat mereka yang lebih ‘akbar’ agar taqwa dan iman sentiasa dipadukan di dalam menguruskannya.
Teringat kata-kata Ustazah Yoyoh Yusra seorang pendokong Islam di Indonesia (Partai Keadilan ),di setiap amalan dan perbuatan, hadirkanlah Allah! Saya kira ini kuncinya dalam menguruskan hubungan. Allah dihadirkan bersama agar matlamat dan tujuan berhubungan  sebelum perkahwinan itu terpandu. Tidaklah seperti banyaknya pasangan masa kini, yang menjadikan pertunangan adalah masa untuk saling mengenali.Sehingga komunikasi tanpa batasan, siang malam pagi petang melepas kerinduan. Diusung pasangan ke sana ke mari, hukum dan perintah Allah entah di letak di mana, bahkan larangannya pula jadi amalan. Nauzubillahi min zalik.
Jadi bagaimana caranya supaya lebih mengenali sebelum berkongsi segalanya?
Berhubungalah sesama pasangan, tetapi ada peraturan dan syaratnya yang wajib dipatuhi. Rujuklah di sini http://www.zaharuddin.net/content/view/212/99/, saya yakin penerangan ust zaharuddin ini boleh dijadikan panduan. Patuhilah perintah Allah, jauhilah larangan Allah. Nafsu dan desakan perasaan itu hanyalah sementara dan kecil nikmatnya berbanding perhubungan halal hasil ‘tapak’ yang dijaga dengan sebaiknya, dengan mujahadah yang tinggi.
Saya seru terutamanya kepada para penggerak tarbiyah di kampus atau di mana-mana sahaja, kita sepatutnya menjadi golongan contoh, teladan yang baik kepada yang lainnya. Kegagalan kita dalam usaha bermujahadah menyediakan tapak yang baik dalam membina keluarga, pasti membuahkan kekecewaan kelak yang bukan sedikit kesan buruknya. Calon suami sudah soleh, calon isteri sudah solehah, tapi jika perhubungan tidak dipelihara dan diuruskan dengan mujahadah, tapak keluarga yang ingin dibina pasti tidak sempurna. Yang digusarkan, akan makin jauhlah redha dan keberkatan dari Allah.

Perkahwinan = Ketenangan

Sifir mudahnya ialah perkahwinan=ketenangan. Jika perkahwinan tidak memberikan ketenangan, maka ada sesuatu di dalamnya yang perlu dihalusi,diperbaiki,dimuhasabah. Krisis rumahtangga yang berlaku hingga membawa kepada kehancuran nilai kemanusiaan pastinya berpunca dari terhakisnya nilai-nilai ketenangan ini dalam rumahtangga. 
Saya sendiri tidak pasti apakah maknanya ketenangan dalam perkahwinan, tetapi ayat Allah di atas membuatkan saya yakin bahawa ketenangan yang Allah janjikan pasti luar biasa. Justeru wajar untuk kita insafi, kita perhatikan. Sejauhmana tapak yang kita sediakan dalam membina rumahtangga Islam ini akan membawa kepada sebuah ketenangan yang luar biasa? Adakah ia tapak yang bercampur antara yang hak (makruf)dan yang batil (mungkar)? Atau ia tapak yang didirikan dengan mujahadah dan kesabaran mentaati perintah Allah? Jawablah dengan iman,dengan taqwa. Mudah-mudahan kita tergolong dalam hamba Allah yang sentiasa memburu redha NYA. Wallahua'lam...

Read More

MPMN gesa tarik semula ugutan terhadap mahasiswa

1

Category:

Petaling Jaya 20 Apr - Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) hari ini mengeluarkan kenyataan akhbar membantah tindakan sekatan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya terhadap keterlibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. 

MPMN bersama wakil front mahasiswa Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro Mahasiswa Nasional (PRO-MN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menggesa pihak terbabit membatalkan serta merta kenyataan atau tindakan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil tersebut.

Mohd Fadzil bin Jamal, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) menyatakan bahawa tindakan sekatan ini bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menjamin kebebasan individu di dalam sesebuah negara. “Kami menuntut pihak terbabit menarik semula sebarang notis ugutan yang memperbodohkan mahasiswa dengan pernyataan undang-undang yang tidak tepat.” Katanya.Dalam kenyataannya juga, beliau menyebut seharusnya pihak KPT dan HEP UM menghormati autonomi mahasiswa dalam mengadakan aktiviti serta menghentikan segala penindasan terhadap mahasiswa.

Berikutan tindakan sekatan ini, Siti Nadzirah bt Majeed, Timbalan Presiden PMIUM merangkap Exco MPMUM berkata golongan mahasiswa yang mewakili majoriti suara anak muda selayaknya diberikan keutamaan pendedahan dan ruang untuk memberi idea dalam perkara ini.
 “Kami berpendirian bahawa mahasiswa perlu turut sama menyertai masyarakat, memberi kesedaran, menyatakan pandangan dan penjelasan terhadap apa jua perkara yang berlaku di peringkat negara khususnya dalam aktiviti demokrasi seperti pilihanraya.”

Mohd Fadzil, di akhir sidang media menyatakan di atas pendirian non-partisan mereka menyeru agar seluruh mahasiswa bersama-sama memberi kesedaran kepada rakyat dalam memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah untuk memastikan hak bersuara rakyat terjamin.
Turut hadir Exco MPMUM, Muhammad Hafiz bin Ilyas, wakil PRO-MN Mohd Saufi bin Jelani dan Izzuddin Hilmi bin Mohd Zaini wakil front mahasiswa UM. -mahasiswakini
Read More

Memori setahun PMIUM

0

Category:

Read More

Bahagia: Keluarga Rasulullah SAW Model Terbaik

1

Category:



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”
(Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Penyakit Yang Membarah

Isu keretakan rumahtangga dengan kepelbagaian punca bukan lagi masalah baru dalam masyarakat Malaysia kini. Bahkan ia menjadi isu evergreen yang seolah-olah tidak menemui jalan penyelesaian. Kita dikejutkan dengan berita suami menikam isteri, menyimbah isteri dengan cuka getah dan mendera isteri dengan penderaan mental dan seksual. Si isteri pula ada juga yang membunuh suami sendiri, berlaku curang sehingga sanggup melayan nafsu lelaki lain. Lain pula kisahnya dengan tindakan ibu bapa ke atas anak-anak. Anak-anak ada yang dilacurkan, dirogol, didera dan ditinggalkan di merata tempat dengan harapan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dating dan mengambil mereka. Inilah penyakit dalam sistem keluarga di Malaysia yang semakin parah dan membarah. Pelbagai langkah diambil untuk mencegah dan menghukum kezaliman yang berlaku. Bermula dari badan kehakiman, institusi kerajaan dan bukan kerajaan, badan-badan politik, pusat-pusat pendidikan hingga ke Jawatankuasa Kerja Kampung. Namun permasalahan ini semakin menjadi-jadi bahkan lebih teruk lagi.Kenapa ia berlaku?

Model Keluarga Bahagia

Pelbagai jawapan yang diberi akan membawa kita memahami bahawa semuanya berpunca daripada diri individu itu sendiri. Ia mengukur sejauhmana kesedaran seseorang dalam memainkan peranannya dalam sebuah keluarga sama ada sebagai ayah, ibu atau anak-anak. Justeru, saya berpendapat peranan yang ingin dimainkan ini perlu berpandu kepada syariat Islam itu sendiri. Keluarga Rasulullah SAW adalah model keluarga bahagia yang terbaik untuk dicontohi. Ia bermula dari Rasulullah SAW sendiri yang berperanan sebagai suami yang bertanggungjawab, memahami, menyenangkan isteri, penyayang dan sangat prihatin kepada keadaan keluarga. 

Ditambah pula dengan kesetiaan, kesabaran dan kecekalan hati Saidatina Khadijah RA, Saidatina Aisyah dan para isteri baginda yang lain dalam mengurus tadbir rumahtangga demi memastikan keluarga yang dibentuk membawa kebahagiaan. Anak-anak seperti Saidatina Fatimah RA pula memainkan peranan dengan baik dengan berakhlak mulia, taat kepada ibu bapa dan sentiasa mengingati bahawa redha Allah terletak di atas redha ibu bapa. Jika wujudnya permasalahan di dalam keluarga, kata sepakat di antara suami isteri dicapai dengan penuh tasamuh (toleransi ) dan hikmah (bijaksana). Bahkan terlebih dahulu dirujuk kepada perintah-perintah Allah SWT.
Kombinasi fungsi yang ideal yang dimainkan oleh Rasulullah SAW dan ahlul bait lainnya ini akhirnya membawa kepada satu bentuk kebahagiaan yang hakiki. Bukan sahaja kepada keluarga baginda, bahkan kepada jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Kesemuanya terdorong untuk mencontohi Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah mahupun Saidatina Fatimah RA.
Akhlak Mahmudah sebagai Jaminan 

Lantaran itu, saya menyeru kepada semua pihak agar belajar dan mencontohi peribadi Rasulullah SAW dan ahlul bait dalam berakhlak kepada keluarga. Akhlak mahmudah sebegini pasti akan menjamin kehidupan yang lebih bahagia, tenteram dan penuh barakah. Ianya tidak lain adalah kerana berakhlak mulia kepada ahli keluarga merupakan satu kewajipan yang dituntut oleh Islam demi menyelamatkan kesemua ahli keluarga daripada api neraka.

Wahai orang-orang Yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka. Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”(At-Tahriim:6)

Read More