Taubatku...

Category:




Ya Rabb yang Agung,
Di kesunyian malam, ku alunkan zikir merinduiMU,
mengagungkan dan membesarkanMU,
dek rasa dihimpit dan terhimpit,
pada ujian dan aturanMU,
yang ku sedari,
ia adalah ubat kekotoran hatiku.

Ya Tuhanku,
Ku adukan padaMu
Segala gelisah resah
Jua lelah
Yang mendiam di lubuk hati
Teman sebuah perjalanan
Menuju negeriMU yang abadi
Sungguh tiada lain bagiku
Melainkan di sisiMU aku kembali
Bertafakur menginsafi diri

Wahai Yang Maha Pengasih
Kau datangkan warna kehidupan
Gembira duka,riang kecewa,manis pahit
Biar ia mendewasakan jua mematangkan
Lantaran diri yang begitu gah berkata
Andai ujian menimpa
Aku pasti mampu menempuhinya
Sehingga terkadang diri terlupa
Bahawa Kau akan berkira-kira
Demi membukti kata-kata hamba
Benar atau dusta semata

Tuhan,
Kini aku terduduk terkesima
Tersedar kelalaianku membuahkan dosa
Gelapnya sang raja yang digelar hati
Setelah sejengkal waktu diri bermujahadah
Akhirnya ditipu kenikmatan dunia
Hingga membuatku alpa
Kau menentu segala-galanya
Biar bagaimanapun sebuah usaha
Tanpa taqwa ia tidak bermakna

Wahai Yang Maha Penyayang
Tidak sekali-kali ku harap sebuah ungkapan kasih
Yang mencarik harga sebuah kesetiaan
Yang sekian lama ku pasak
Kukuh di tiang tawakal
Bukan dek kerana kuasa ku sebagai hamba
Tapi kerana imanku berkata-kata
Disuntik oleh ayatMu
“Setelah berazam, maka bertawakkallah duhai sang manusia”

Tuhanku yang Berkuasa
Betapa kerdilnya diriku
Tatkala dihempap sebuah penyesalan
Hinanya diri dek kerana rasa yang mendesak
Pada sebuah rahsia yang masih tersimpan
Rapi di loh mahfuzMu
Sedangkan siapalah aku
Untuk meminta yang lebih
Pada yang ternyata belum hakku

Ya Allah
Di hujung rasa aku terdiam
Menyaksi ujianMU membentuk diriku
Dan aku tergamam sendiri
Ia buatkan ku kembali mendamba
Kasih dan cintaMU
Agar memenuhi seluruh relung hatiku
Ku pingin menjadi Nasibah
Berkorban demi cinta Rasul
Ku mahu mencontoh Khaulah
Berkorban demi cinta Agama
Ku juga ingin menjejak Zainab
Berkorban demi cintaMU yang satu..

Tuntun ku ke jalanMu Tuhan
Agar ku tak gugur di pertengahan
Dalam mujahadahku memperoleh redhaMU
Biar di sisiMU ku sandar rindu cintaku
Pada sebuah rahsia yang takkan lagi terhijab
Setelah rahmatMU kelak hadir bersama…


NUWAIRAH AZZAHRA
Dar Azzahra, 2.16 am, 2009-11-14

Comments (0)

Post a Comment