Taubatku...

0

Category:




Ya Rabb yang Agung,
Di kesunyian malam, ku alunkan zikir merinduiMU,
mengagungkan dan membesarkanMU,
dek rasa dihimpit dan terhimpit,
pada ujian dan aturanMU,
yang ku sedari,
ia adalah ubat kekotoran hatiku.

Ya Tuhanku,
Ku adukan padaMu
Segala gelisah resah
Jua lelah
Yang mendiam di lubuk hati
Teman sebuah perjalanan
Menuju negeriMU yang abadi
Sungguh tiada lain bagiku
Melainkan di sisiMU aku kembali
Bertafakur menginsafi diri

Wahai Yang Maha Pengasih
Kau datangkan warna kehidupan
Gembira duka,riang kecewa,manis pahit
Biar ia mendewasakan jua mematangkan
Lantaran diri yang begitu gah berkata
Andai ujian menimpa
Aku pasti mampu menempuhinya
Sehingga terkadang diri terlupa
Bahawa Kau akan berkira-kira
Demi membukti kata-kata hamba
Benar atau dusta semata

Tuhan,
Kini aku terduduk terkesima
Tersedar kelalaianku membuahkan dosa
Gelapnya sang raja yang digelar hati
Setelah sejengkal waktu diri bermujahadah
Akhirnya ditipu kenikmatan dunia
Hingga membuatku alpa
Kau menentu segala-galanya
Biar bagaimanapun sebuah usaha
Tanpa taqwa ia tidak bermakna

Wahai Yang Maha Penyayang
Tidak sekali-kali ku harap sebuah ungkapan kasih
Yang mencarik harga sebuah kesetiaan
Yang sekian lama ku pasak
Kukuh di tiang tawakal
Bukan dek kerana kuasa ku sebagai hamba
Tapi kerana imanku berkata-kata
Disuntik oleh ayatMu
“Setelah berazam, maka bertawakkallah duhai sang manusia”

Tuhanku yang Berkuasa
Betapa kerdilnya diriku
Tatkala dihempap sebuah penyesalan
Hinanya diri dek kerana rasa yang mendesak
Pada sebuah rahsia yang masih tersimpan
Rapi di loh mahfuzMu
Sedangkan siapalah aku
Untuk meminta yang lebih
Pada yang ternyata belum hakku

Ya Allah
Di hujung rasa aku terdiam
Menyaksi ujianMU membentuk diriku
Dan aku tergamam sendiri
Ia buatkan ku kembali mendamba
Kasih dan cintaMU
Agar memenuhi seluruh relung hatiku
Ku pingin menjadi Nasibah
Berkorban demi cinta Rasul
Ku mahu mencontoh Khaulah
Berkorban demi cinta Agama
Ku juga ingin menjejak Zainab
Berkorban demi cintaMU yang satu..

Tuntun ku ke jalanMu Tuhan
Agar ku tak gugur di pertengahan
Dalam mujahadahku memperoleh redhaMU
Biar di sisiMU ku sandar rindu cintaku
Pada sebuah rahsia yang takkan lagi terhijab
Setelah rahmatMU kelak hadir bersama…


NUWAIRAH AZZAHRA
Dar Azzahra, 2.16 am, 2009-11-14
Read More

CINTA SEORANG IBU.....

3

Category:

Hari ini 9 Mei menjadi hari sambutan hari ibu. Seingat saya, sejak di Tingkatan 1,saya tidak pernah meninggalkan 'kerja' menyediakan hadiah buat mama Pn Amitmah Mayasin. Cuma kebelakangan ini (lebih-lebih lagi bila berjauhan) seperti sekarang, hadiah buat mama pastinya lewat atau hanya ucapan 'tunggal' tanpa hadiah akan saya beri.

Teringat lagi zaman sekolah rendah (Tahun 1 hingga 3), saya bersekolah di sekolah yang sama tempat mama mengajar. Bahkan mama mengajar kelas saya untuk subjek Matematik dan Pendidikan Seni. Mulanya saya tidak risau kerana berasa yang 'penyelamat' saya di rumah yang mengajar saya di sekolah. Tetapi teguran pertama mama ketika saya memanggilnya "mama" untuk bertanyakan soalan di kelas -"panggil 'cikgu'"-membuat saya sedar mama seorang yang tegas dalam mendisiplinkan saya. Tiba waktu rehat pula, saya tidak perlu bersusah payah berbaris di kantin untuk membeli makanan. Tinggal pergi ke pejabat guru, dan mengambil kuih donat(kebiasaannya) di atas meja mama. Cuma kadangkala sahaja, mungkin disebabkan mesyuarat, mama tinggalkan duit RM1 di atas meja berserta notis "makan di kantin".

Kebiasaan sebegini saya lalui hingga ke Tahun 3. Kenakalan saya juga semakin menjadi-jadi sehingga laporan tidak rasmi guru-guru sampai ke telinga mama. Pernah saya bergaduh dengan seorang pelajar lelaki sehingga saya hampir memukulnya dengan penyapu. Mujur datang Cikgu Azlinah (guru kelas) saya pada ketika itu. Tapi di rumah, saya tetap tidak terlepas dari teguran (leteran) mama.

Masuk ke darjah 4, saya berpindah sekolah. Kali ini ke sekolah abah. Perbezaan yang saya hadapi sangat ketara. Tidak ada lagi makanan tersedia tanpa bersusah payah, bahkan kadang-kadang saya terpaksa menangguhkan 'makanan rehat' saya dek kerana abah yang bermesyuarat dan duit belum diberi. Saya pernah merungut mahu dipindahkan semula ke sekolah lama, tapi abah bertegas hingga berkata "kalau mahu pindah, urus sendiri". Terpinga-pinga saya jadinya. Lantas perasaan itu terkubur dengan kesibukan baru saya sebagai pengawas sekolah. Walaupun saya agak selesa di sekolah baru yang terletak di pekan, saya tetap merindui suasana belajar saya yang lama di sekolah kampung apatah lagi belajar bersama mama.

Melangkah ke sekolah menengah, satu cabaran besar buat saya ialah pemergian abah dan mama ke Mekah. Saya kira baru 3 minggu saya mendaftar masuk ke asrama, kini ditinggalkan pula. Pada hari keberangkatan abah dan mama bersama matua dan beberapa orang lagi, saya diambil oleh pakcik untuk dibawa balik. Sebelum ke lapangan terbang, saya sempat mencapai sehelai tudung mama. Bau mama akan merawat kerinduan saya-itu yang pasti. Dalam tempoh hampir 2 bulan mereka di sana, saya benar-benar diuji untuk berdikari. Abang pada ketika itu bersekolah di tempat lain. Seingat saya hanya sekali kami berjumpa dalam tempoh itu-menyambut hari raya haji. Hanya Allah yang tahu betapa saya benar-benar rasa kehilangan ketika itu.Alhamdulillah, abah dan mama balik ke Malaysia dengan selamat, saya masih ingat ketenangan yang ada pada wajah keduanya.

Peperiksaan besar yang pertama (PMR) saya lalui dengan penuh debar. Maklumlah, prestasi pelajaran saya yang tidak begitu membanggakan. Saya bersedia saat akhir dek kerana kesibukan saya menyertai debat di-raja sejak di Tingkatan 1. Namun alhamdulillah. Airmata gembira mama di hari pengumuman keputusan adalah kesyukuran saya yang paling besar. Saya terlihat satu catatan di tarikh tersebut di dalam diari mama- "hari paling gembira, anak dapat 9A". Saya menangis sekali lagi, syukur ya Tuhan.

Selepas SPM, saya mendapat tawaran menyambung pengajian di APIUM Nilam Puri. Pada awalnya saya bertegas untuk terus menyambung ke Tingkatan 6 selepas menolak tawaran Matrikulasi Labuan. Tetapi abah bertegas meminta saya mendaftar masuk ke APIUM Nilam Puri. Saya adukan pada mama. Mama menasihati saya penuh hikmah- "memang baik memilih sesuatu yang kita suka. Tapi kan berkat kalau percaya pada pilihan abah". Dengan kata-kata ini, saya tidak panjangkan lagi hasrat, lantas menerima tawaran APIUM Nilam Puri. Hari keberangkatan saya ke Kelantan yang hanya ditemani teman-teman, sekali lagi saya lihat air mata mama. Payahnya saya menahan tangis, semata-mata mahu memberi keyakinan kepada mama bahawa saya pasti boleh hidup dengan baik di sana. Mama lebih banyak senyap berbanding abah yang berpesan itu ini. Akhirnya saya melangkah juga meninggalkan dunia "kecil" saya di Sabah demi membina diri.

Tahun pertama saya di APIUM Nilam Puri, ujian besar datang lagi. Saya kehilangan matua(nenek) sebelah mama yang meninggal dunia ketika saya baru tiba dari Kelantan untuk balik bercuti. Mama sangat-sangat terkesan dengan pemergian matua, kerana hanya kami tnggal serumah bersama arwah. Walaupun mama lebih mewarisi ketegasan patua(datuk), tapi kelembutan arwah dalam melayani anak-anak tetap mama warisi. Saya ingat lagi ketika mama memeluk saya untuk melepaskan kesedihannya, saya berusaha menahan tangis dan memujuk mama.Bukan tidak sedih, tapi saya mahu menjadi penguat mama.

Kini, sudah masuk tahun ke 5 saya mengembara mencari ilmu di tanah semenanjung. Abah dan mama keduanya sudah bersara.Jadi banyak masa mereka dihabiskan di rumah, tinggal menanti anak-anak balik bercuti. Alhamdulillah, abang yang dulu 'mengaji' di semenanjung juga, sekarang sudah berpindah kampus ke Sabah. Sekurang-kurangnya saya pasti ada abang yang boleh menjaga mereka walaupun hanya di hujung minggu. Kerisauan saya mudah menjadi-jadi jika telefon rumah tdak bersambut, telefon bimbit tidak berangkat (mungkin normal untuk anak bongsu seperti saya). Namun yang paling penting, saya begitu bersyukur dikurniakan ibu seperti mama. Kecekalan dan ketegasannya amat memberi kesan kepada saya sejak kecil lagi. Lebih-lebih lagi soal pergaulan saya bersama kawan lelaki di sekolah. Mama amat teliti orangnya, disoal siasat satu-satu panggilan yang saya terima jika di rumah. Walaupun kini sudah tidak begitu, saya masih 'terkesan' dengan cara mama.

Hari ini saya sedikit terlewat menghubungi mama untuk mengucapkan kata-kata indah buat mama sempena hari ibu. Ternyata mama menanti-nanti panggilan saya, lantas saya mohon maaf. Saya yakin semua wanita yang bergelar ibu di muka bumi ini juga memiliki perasaan yang sama. Ingatan seorang anak itu adalah hadiah paling berharga buat mereka.Biar tiada hadiah yang mengiringi ucapan, doa seorang anak tetap menjadikan mereka rasa dihargai dan bertuah. Buat mereka yang bergelar 'anak', lafazkanlah kata-kata indah dan kata-kata maaf buat ibu anda. Belajarlah untuk menzahirkan rasa sayang itu, kerana redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Dengan berkat doa mereka,pasti hidup anak-anak lebih tenteram dan tenang. Insya Allah.

Mama,
Aku tidak pernah merasa sakitnya berkorban sepertimu,
namun ku cuba merasai setiap kesusahan dan kesedihanmu,
Aku mungkin bukan anak yang terbaik,
tapi di hatiku tempatmu tiada yang dapat menggantinya.

Mama,
Redhakanlah setiap titis susu yang kau berikan
untuk membesarkanku,
redhakanlah setiap detik masa yang kau gunakan
untuk mendidikku,
redhakan jua setiap jerih perih yang kau tempuhi
dalam mendewasakan ku.

Mama,
ingin ku contohi peribadimu,
peribadi yang menjadikan aku
manusia yang cintakan agama,
manusia yang mahu tunduk dan patuh kepada tuhanku,
semuanya tidak lain,
berkat doa dan didikanmu.
Ku ingin juga mencontohi kesetiaanmu
pada suami,
Kau muliakan teman dan keluarganya,
yang begitu membuat dia terharu dan mengasihimu.

Mama,
Ku pohon ampun atas segala dosaku,
dalam sedar atau tidak,
juga ku mohon doamu,
demi keberkatan hidupku,
ku sedang melalui jalan-jalan
yang semakin mendewasakanku,
dan entah aku tidak tahu,
bagaimana penghujungnya kelak.

ya Allah,
kasihi ibuku lebih banyak dari dia mengasihiku,
jika aku layak ke syurga,
ku pinta ibuku bersama...
Read More