KONSIS 09' hadir bersama RAMADHAN 1430h

0

Category:



Salam Ramadhan buat semua. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Masih lagi Allah Yang Maha Pengasih memberi peluang mengecap peluang menghadirkan diri dalam Madrasah Tarbiyah- Ramadhan Yang Mulia. Terkenang detik hati dalam Ramadhan lepas, "Adakah aku masih bernyawa dalam Ramadhan akan datang? Berpeluang menghirup kenikmatan tarbiyahnya, mengecap kebahagiaan dekat denganNya juga merasa cahaya rahmatNya.." Alhamdulillah, masih lagi peluang itu datang walau diri tidak yakin adakah ia akan kekal hingga ke hujung Ramadhan. Terima kasih ya Tuhan, dalam kehinaan diri dan kekotoran hati, KAU tidak terus meninggalkanku lalai dengan kebodohanku yang tunduk pada hawa nafsu. KAU beriku jalan untuk ku kembali menyucikan diri, melunakkan hati.
لا حول ولا قوة إلا بالله.

Kegembiraan menyambut hadirnya Ramadhan semakin bertambah dengan adanya Konvensyen MARSIS ( KONSIS 09 ). Betapa bertuahnya anak-anak Borneo kerana dipilih oleh Allah untuk memberi komitmen di dalam KONSIS 09 diiringi dengan Ramadhan. Kalau diikutkan, tarikh awal KONSIS 09 bukanlah bertepatan dengan kehadiran Ramadhan, tetapi seminggu lebih awal. Cuma akibat kekangan masa dan masalah-masalah tertentu, ia akhirnya ditangguhkan ke 21 Ogos. Perasmian KONSIS 09 yang diadakan selepas solat terawih berjemaah seolah-olah juga menjadi perasmian kepada bermulanya tranformasi ibadah untuk Ramadhan. Jika sebelum ini jarang sekali solat sunat rawatib, maka Ramadhan kali ini titik mulanya. Jika sebelum ini susah sekali bangun solat malam, maka Ramadhan kali ini menjadi pengubahnya. Begitulah juga pertemuan-pertemuan lain bersama Allah, biar Ramadhan kali ini menjadi saksi kebulatan tekad kita untuk memaksimakannya.

Sahur bersama-sama juga antara detik manis di dalam KONSIS 09'. Dalam meeting AJK, pelbagai assumption dibuat- orang jarang makan nasi untuk bersahur, ada yang suka makan mee untuk bersahur, ada yang minum air saja untuk bersahur, macam-macamlah. Kesian juga kak azrinah selaku AJK Makanan untuk decide menu bersahur. Tapi setelah dipertimbangkan, akhirnya menu yang dipilih tetap nasi. Dan diri ini pun bersyukur yang teramat sebab lebih memilih nasi untuk dijadikan juadah bersahur. Tetapi lain pulak dengan Presiden MARSIS- yang penting mesti ada teh panas! Kalau AJK tak mau sediakan air teh, beli serbuk teh pun boleh, nanti muslimin buat sendiri. Saya pun menggeleng... Mula lah saya memberi tazkirah ringkas. Sebenarnya amalan meminum teh ketika bersahur perlu dielakkan. Melalui pembacaan yang minima, teh dan kopi yang mempunyai kafein yang banyak akan menyebabkan asid hidroklorik berlebihan dalam badan ketika proses ransangan kafein ke atas tubuh kita. Jika ini terjadi, kita akan akan mengalami gastrik atau dalam bahasa perubatan disebut sebagai gastritis.Selain itu minuman berkafein seperti teh akan menyekat penyerapan nutrien di samping meningkatkan kehilangan cecair badan. Kalau mau jugak, minum lebih awal seperti selepas terawih ( ketika moreh ). Lalu Presiden pun menyambung, " Tak apa.Ana sudah biasa...". Hmm...ikutlah ustaz...Yang penting, ana sudah bagitau awal...

Dalam keterbatasan yang ada, para AJK membulatkan tekad untuk meneruskan sahaja KONSIS 09'.Tidak perlu ditangguh lagi. Maka dalam keadaan banyak kekurangan, KONSIS 09' tetap dijalankan. Walaupun jumlah peserta pada majlis perasmian belum mencapai target, ia tidak mematahkan semangat Unit Peserta untuk terus-terusan follow-up. Alhamdulillah, ramai yang masih dalam perjalanan menuju ke tapak program. Good job Tini and Salmah! Alhamdulillah, bermula pendaftaran pada petang Jumaat sehingga malam terakhir hari Sabtu, ada sahaja peserta yang sampai untuk mengikuti KONSIS 09'. Kami pihak AJK sentiasa mengalu-alukan kehadiran peserta walaupun yang datang hanya sempat mengikuti 1 slot sahaja. Itu semua tidak menjadi masalah, kerana yang penting adanya perolehan ilmu walaupun sedikit. Alhamdulillah dan terima kasih! Dengan tranformasi kepada beberapa pengisian yang diperingkat percubaan sebenarnya, KONSIS 09' mendapat pelbagai reaksi daripada peserta. Ada yang menyukainya, ada juga yang berpendapat ia kurang sesuai. Saya begitu faham bahawa pendapat ini terhasil akibat daripada latar belakang dan kondisi kampus yang berbeza. Walau apa pun, kami pihak MARSIS Pusat khususnya amat menghargai usulan-usulan sahabat semua dan insya Allah akan memperbaikinya lagi. Antara pengisian yang dijalankan ialah Dakwah Workshop by IIS ( Special thanks to Bro Endry, Bro Edwad and Bro Yusuf. You all are appreciated ), Creative Discussion ( Modul: Just Say It, Be a Crusader, Berita Kepala 3,dll ), Creative Film-maker ( yang ni disukai ramai ), Creative Game & Creative Planning. Dakwah Workshop yang dijalankan adalah meliputi tajuk-tajuk seperti Kewajipan Berdakwah, Christian Belief, Christian History, Christianity, I Am That I Am, Bible Study, Chinese Belief dan Similarities Islam & Christian. Semoga aktiviti-aktiviti ini menjadi medan perolehan ilmu dan amalan baik buat semua.

Menutup tirai KONSIS 09', Presiden MARSIS menyampaikan beberapa pesanan dan tasyji' buat semua. Menambahkan kefahaman tentang pripentingnya bekerja demi Islam akan membuka lagi ruang yang luas kepada tsabatnya kita dalam perjuangan Islam. Menjadi seorang Muslim yang baik akan memastikan wujudnya masyarakat yang baik. Apatah lagi melihat realiti di negeri masing-masing, terlalu runcing masalah yang perlu difikirkan. Hanya Allah yang tahu apa yang terbit di hati para hadirin yang hadir dalam KONSIS 09'. Sama ada menganggap KONSIS 09' sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya, itu hak individu dan ia tetap akan kembali kepada Allah SWT. Tetapi saya secara peribadi begitu gembira dan berbangga bersama ahli keluarga besar MARSIS. Biarpun hanya beberapa orang sahaja yang boleh terus komited mendokong matlamat MARSIS, adik-beradik yang lain tetap memberi sokongan. Saya percaya mereka bukan sengaja untuk tidak menghadirkan diri, tetapi ia terjadi kerana keterbatasan masa dan tenaga. Tiada kata lain yang perlu saya ucapkan selain terima kasih buat semua yang menjayakan KONSIS 09'. Teruskan mentarbiyah diri di Madrasah Tarbiyah Ramadhan. Lets proud to be DAIE'! Takbir!!!!!

ZOOM IN!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Creative Discussion 1



Cepat cepat. Fikirkan jawapan!



Jawapan kami ialah ILMU...( Tapi apa soalannya???? )



Menjadi sebuah keluarga dalam Creative Film-maker



Menjadi pelakon harapan!



Penonton yang setia..



Thanx Bro!



Mengeratkan lagi silaturrahim...



Presiden MARSIS sedang mengingat wira-wiranya yang bercuti



MARSIS Training & Services...



Bro Yusuf sedang membentangkan Christian Belief



Bro Edwan sampaikan talk " Bible Study "



Adik beradik MARSIS yang komited

Read More

TERIMA KASIH PADA SEMUA

0

Category:



Salam terima kasih buat semua sahabat-sahabat yang mendoakan diri ini. Alhamdulillah demam panas yang menyapa beberapa hari lepas sudah hampir pulih sepenuhnya. Begitulah ujian yang Allah takdirkan buat hamba-Nya. Diberikan kegembiraan, namun demi memastikan hambaNya tidak terus alpa, maka dianugerahkan nikmat sakit agar beringat dan dekat denganNya. Alhamdulillah wa syukru lillah. Juga terima kasih buat doa-doa panjang umur yang dikirimkan melalui SMS atau e-mail sempena berkurangnya
jangka waktu untuk bertemu Allah. Semoga kalian juga turut beroleh perhatian dan rahmatNya. Paling istimewa, terima kasih buat adik tersayang Syaa dan Syima atas hadiah kalian berdua. Moga buku-buku tersebut turut memberi manfaat kepada kita semua.

Dari Syaa...





Dari Syima...

Read More

3 Ogos, perginya seorang MUJAHIDAH....

0

Category:



Sesungguhnya mengingati tarikh kelahiran seseorang adalah suatu kebiasaan yang telah menjadi amalan sejak bertahun lama. Entah siapa yang menjadi pencetusnya, namun apa yang pasti 'doktrin'nya untuk membuatkan orang ramai mengingati tarikh kelahiran telah berjaya. Tarikh ini dianggap penting sehinggakan dilupakan tarikh-tarikh yang sepatutnya dianggap penting selainnya. Tidak salah mengingati tarikh kelahiran, bahkan ia boleh dijadikan 'mahar' untuk mengukuhkan lagi sebuah persahabatan dan persaudaraan. Namun adakah ada di kalangan kita yang mengingati tarikh kematian? Untuk dikenang mungkin, tapi pastinya bukan untuk diraikan. Justeru hari ini 3 Ogos 2009 adalah tarikh pemergian seorang srikandi yang agung sepanjang zaman. Dialah 'abidah, dialah da'ieyah, dialah mujahidah, dialah amirah, dialah juga isteri, dialah ibu dan akhirnya Allah memberinya darjat yang Agung, dia telah menjadi seorang SYAHIDAH. Allahu Akbar! Selama usianya 88 tahun, ku pasti dia hidup dalam barakah dan ibadah. Apatah lagi setelah menginfakkan diri di jalan Allah, pasti dia lebih berbangga kerana umurnya tidak disiakan dengan murka Allah. Ketika remajanya, dia berjiwa seorang muslimah kental tak kenal lelah. Seawal remaja dia beriltizam mendokong harakah islamiyah. Biar diserah jiwa raga hanya pada Allah. Menjengah usia matang, dia dilamar untuk menjadi seorang isteri. Bukan kesempurnaan seorang suami yang dipinta, tapi dia menuntut faham seorang suami pada tugasnya sebagai abnaul harakah. Dengan lemah lembut dia meminta izin, untuk terus tsabat bersama jemaah, tanpa putus asa. Dan syukur pada Allah, betapa DIA telah menemukannya dengan seorang suami yang begitu mendorongnya. Kepada si isteri, tidak diminta layanan luar biasa, sekadar termampu sesuai dengan kesibukannya. Malah dijanjikan pada si isteri, keizinan seumur hidup untuk terus bekerja demi perjuangan Islam. Allahu Akbar. Hanya dengan kuasa Allah lah yang menjadikan hati si suami terbuka untuk seorang srikandi. Ketika berhadapan dengan kezaliman Jamal Al-Naseer, bukan sahaja kekuatan aqal yang diperlukan, bahkan lebih dari itu, kesediaan pada sebuah pengorbanan - jiwa, raga, harta dan keluarga. Tinggal satu sahaja yang tidak mungkin digadaikan iaitulah Aqidah Perjuangannya. Biar diseksa semacam mana sekalipun, dia takkan berundur. Berkata "YA" kepada taghut Laknatullah umpama memasukkan kaki ke dalam api jahanam. Lalu atas kedegilannya, dia dihukum. Dia menemui syahid yang dinantinya sekalian lama. Walau telah terhenti penyeksaan ke atasnya, tapi ruh perjuangannya akan terus meresap dalam jiwa muslimah muda. Yang menjadikannya ibu, semangat bahkan ingin sekali menjadi bayangannya. Hari ini genap 4 tahun Zainab Al-Ghazali pergi meninggalkan kita. Meskipun diri ini tidak diberi peluang untuk bertemunya di dunia, kata-katanya sudah sebati menjadi inspirasi. YA Allah, moga hari yang menjadi tarikh pemergiannya ini akan turut menjadi tarikh lahirnya seorang mujahidah yang juga mencintai syahid sepertinya, untuk meneruskan kesinambungan perjuangan. Dan pastinya ya Tuhan, ku mohon mujahidah itu adalah AKU.....

Read More

KE MANAKAH PERGI PERIKEMANUSIAAN?????

0

Category:


Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa.

Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari.

Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau.

Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya.

Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama.

Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur...

Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem.

Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Dipetik daripada blog merdekareview.


Apakah yang sedang anda fikirkan kini? Bayangkan anda adalah Suhaib! Atau bayangkan anda adalah ayahnya yang ditahan, atau ibunya yang hiba. Apakah perasaan anda?????
Read More