Lelaki rela 'dimadu'!

0

Category:


Laporan My Metro Ahad, bertarikh 10.10.2010 berkaitan perempuan simpanan yang dibela oleh beberapa orang lelaki dalam satu masa sewajarnya membuat kita semua membuka mata.

Soal ia haram dan salah di sisi agama dan moral manusia, merupakan satu sudut pandang yang tidak boleh dinafikan. Cuma di satu sudut pandang lagi, saya menganggap ia cukup melambangkan ‘ketidakstabilan’ dan ‘kesongsangan’ ketara dalam peradaban masyarakat kini. Fitrahnya seorang lelaki tidak akan boleh menerima kecurangan pasangannya. Ada wanita yang dipukul, diceraikan bahkan diseksa sehingga mati dek kerana cemburu seorang lelaki. Tetapi hari ini kita berdepan pula dengan gejala yang boleh dikatakan pelik dan dahsyat apabila para lelaki bersedia untuk ‘dimadukan’. 

Apakah ia disebabkan oleh ‘jiwa lelaki’ Malaysia yang semakin lemah dan buta?

Atau mungkinkah ia disebabkan oleh keadaan masyarakat kita yang dididik dengan keterbukaan yang melampau?



Segala yang ‘luar biasa’ kini telah menjadi kebiasaan yang seolah-olah ‘diraikan’. Sudah ramai lelaki yang rela berkongsi kasih, walaupun ternyata kasih tersebut haram untuk dinikmati. Apa yang membimbangkan, golongan lelaki sebegini turut rela jika berkongsi kasih seorang isteri. Isteri yang sepatutnya dijaga dan dilindungi, bahkan rela di’pinjam’kan kepada orang lain. Di mana letak tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki? Kedayusan lelaki sebegini akan menghancurkan sistem kehidupan masyarakat Malaysia sendiri.

Saya seru kepada mereka yang tidak henti-henti memperjuangkan konsep monogami dalam perkahwinan agar beralih angin untuk memperjuangkan pula isu ini. Tidak wajar seorang lelaki rela berkongsi wanita apatah lagi berkongsi isteri. Seharusnya para lelaki sedar dan berubah dari kesongsangan dan ketidakstabilan yang luar biasa ini kepada fitrahnya sebagai lelaki yang melindungi. Seorang isteri yang dimadukan tidak pernah dilarang oleh agama asal sahaja cukup syarat dan maksudnya. Tetapi jika lelaki atau suami yang sanggup bermadu, nantikanlah azab dan balasan tuhan kepada umat manusia.

“Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), Dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) Yang mereka kerjakan. Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya. Kemudian, Sesungguhnya mereka akan menderita bakaran neraka. Akhirnya dikatakan (kepada mereka): "Inilah Dia (azab seksa) Yang kamu dustakan dahulu."- Al-mutaffifin, 14-17.

Siti Nadzirah binti Majeed
TYDP Persatuan Mahasiswa Islam UM merangkap Timb.Pengerusi SIGMA GAMIS 2010/2011
Read More

Sekolah Harapan: alah bisa tegal biasa?

5

Category:


Kita sedia maklum, Kerajaan negeri Melaka memulakan langkah dalam pembinaan dan pembiayaan sebuah sekolah khusus untuk pelajar hamil yang dinamakan Sekolah Harapan. Sekolah yang ditempatkan di daerah Jasin, Melaka ini bahkan boleh menampung sehingga 40 orang pelajar. Ketika sekolah ini mula dilancarkan, saya berfikir untuk menyediakan masa membuat ‘pemerhatian’. Ternyata setelah lebih kurang 3 minggu sekolah ini dibuka, hipotesis saya benar ; akan berlaku pertambahan pelajar dari semasa ke semasa. Walaupun di peringkat permulaan kita tahu tiada yang berani mendaftarkan diri. Sehingga saat ini, media melaporkan bilangan pelajar sudah melebihi 10 orang bahkan ada pelajarnya telah melahirkan.

Apa yang perlu kita risaukan soal kuantiti? 

Inilah perkara pokok dalam isu ini. Pada pandangan saya, sekolah yang pada awalnya hanya diperuntukkan untuk 40 orang pelajar sahaja ini begitu ‘berisiko’ besar untuk menambah bilangan kerusi dan meja untuk pelajar lain lagi. Saya begitu bimbang, sikap ‘keterbukaan’ para menteri kita ini akan menjadikan pepatah ‘alah bisa tegal biasa ‘ diterjemahkan dalam isu ini. Mula-mula malu, kemudian ramai yang mahu. Lama-kelamaan, tiada apa lagi yang akan menjadi ‘isu’ kerana ia telah menjadi sebati dalam masyarakat kita.

Para remaja yang gemar bersosial tanpa batasan akan mula berasa ‘selamat’ setelah ada jaminan bahawa mereka tetap boleh ‘menjadi manusia’ seperti rakan-rakan sekolah mereka yang lain walaupun sebenarnya nilai hidup sebagai seorang manusia berakhlak itu makin terhakis dalam diri. 

Saya juga ingin menimbulkan 2 persoalan yang nyatanya akan memberi kesan berbeza. Pertama, jika benar seorang pelajar itu hamil sebelum sekolah ini diwujudkan dan beliau benar-benar menginsafi perbuatannya, mungkin benar dirinya ‘layak’ ke sekolah harapan ini (jika berpandukan matlamat penubuhan). Tetapi kedua, jika pelajar tersebut hamil setelah wujudnya sekolah ini akibat rasa selamat akan ‘terjaminnya’ masa depannya walau hamil di luar nikah, ini yang bermasalah. Bahkan masalah ini memberi kemudharatan yang lebih besar kepada masyarakat kita berbanding keadaan pertama. Bukankah mengelakkan kemudharatan yang lebih besar itu adalah lebih perlu kita utamakan berbanding mewujudkan kebaikan yang sedikit? 

Benar, kita tidak akan mampu menjangkakan masa depan. Tetapi, jika jalan yang kita gunakan lebih berisiko dalam mengundang nilai negatif berbanding nilai positif untuk masyarakat, tindakan kita perlu dikaji semula. 

Bernilai lagikah masyarakat kita jika hidup dalam budaya ‘keterbukaan tanpa batasan’ hingga mengurangkan nilai sensitiviti terhadap maruah dan kehormatan?

Siti Nadzirah Majeed
TYDP Persatuan Mahasiswa Islam UM merangkap Timb.Pengerusi SIGMA GAMIS 2010/2011
Read More