Pertikaian Terhadap Manifesto

0

Category:

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini saya mendapat berita bahawa salah sebuah blog telah menganalisis manifesto yang saya bawakan. Terima kasih saya ucapkan kerana bersusah payah menganalisisnya. Setelah saya fikir-fikirkan amat perlu untuk saya menjelaskan soal manifesto saya kepada semua, tapi bukan ini masanya. Rasionalnya? Kerana keputusan rasmi masih belum dikeluarkan. Untuk itu,saya perlu berhati-hati dengan tindakan saya kerana mahu mengelakkan permasalahan lain pula yang akan timbul.

Cuma secara ringkasnya, manifesto yang saya bawakan adalah berdasarkan beberapa kajian dan perbincangan. Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk meraih undi ketika merangka manifesto tersebut, bahkan saya berani membawanya kerana saya yakin ia tidak mustahil untuk dilaksanakan. Ketika berkempen di beberapa fakulti juga, saya menjelaskan serba sedikit sebab musabab saya memilih manifesto tersebut. Alhamdulillah, kebanyakan rakan yang bertanya sendiri kepada saya boleh menerimanya. Mungkin ada yang beranggapan manifesto saya yang sekadar 4 perkara itu adalah sangat sedikit dan tidak relevan memandangkan saya bertanding untuk kerusi umum, namun apa yang saya sasarkan bukan memenuhi kertas manifesto dengan janji yang pelbagai, tetapi yang paling penting kapasiti dan ruang yang saya ada untuk melaksanakannya kelak.

Setakat itu sahaja yang boleh saya sebutkan di sini. Saya tidak pernah melarang atau menghalang sesiapa pun untuk menilai saya dan manifesto yang saya bawakan, itu adalah hak individu masing-masing. Insya Allah saya bersedia jika ada yang mahu berbincang dan berbahas bersama saya. Wallahua'lam.
Read More

Hari-hari yang bermakna...

1

Category: ,

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, peluang yang Allah berikan kali ini sangat besar maknanya pada diri saya. Tidak pernah saya terfikir untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus UM,walaupun saya sememangnya bercita-cita mahu menjadi seorang senator. Walaubagaimanaun, takdir yang telah Allah janjikan itu mengatasi segalanya. Semenjak di fasa persediaan, wajib ke atas saya sentiasa berfikiran positif terhadap apa yang berlaku di sekeliling saya. Paling menyentak perasaan saya,adalah apabila keputusan peperiksaan saya menurun semester lepas. Namun alhamdulillah, ia menjadi pengajaran yang baik buat saya. Apalagi tatkala mengetahui keputusan saya lebih baik berbanding mereka yang tidak berpersatuan, saya jadi cukup bersyukur.

Bertungkus lumus memenuhkan jadual kempen selama 2 hari sememangnya menguji kekuatan semangat saya. Bahkan juga menguji kesabaran semua wakil calon saya ( Ust Izzat, Suhailah, Najwa, Ust Tarmizi, Kak Ulfah, Kak Mas, Kak Wan, Syahriul dan speaker saya Mahmud ). Terima kasih yang tidak terhingga buat anda semua. Almaklumlah saya ini agak cerewet sedikit dalam beberapa perkara. Juga buat sahabat Fan Club yang tidak pernah putus asa menyokong saya, jasa baik kalian amat saya hargai. Atas semangat mereka,saya mencari kekuatan untuk bertahan, walaupun dalam masa yang sama saya menerima beberapa kritikan yang menyakitkan.Alhamdulillah,tempoh tersebut berjaya kami redah dengan pertolongan Allah.

Sememangnya tempoh berkempen yang singkat memaksa kami menangguhkan masa makan.Kepada semua wakil calon, maafkan saya andai ada yang terpaksa mengikat perut.Sehinggakan dalam 2 hari, makanan tengah hari kami menjadi makan malam yang hanya kami makan pada jam 9 malam.Saya yakin sahabat calon yang lain juga begitu. Inilah pengorbanan yang terpaksa kita lakukan. Bercakap soal kempen, apa yang mencabar saya adalah masuk ke kolej-kolej kediaman. Almaklumlah,terdapat beberapa kolej yang di'cop' sebagai 'zon' pihak tertentu yang saya kira lebih kuah dari nasi. Tetap alhamdulillah,saya berjaya memasuki kesemua kolej tanpa halangan yang besar berbanding calon-calon umum yang lain seperti Saudara Syafiq Badrishah. Antara pengalaman yang menarik adalah saya bersama wakil calon saya sebanyak 3 orang dan kesemuanya muslimat,berkempen di Kolej Kediaman Kedua. Dengan kekuatan 4 orang dan hanya tinggal 3 minit sahaja masa berkempen,kami mencabar diri. Jika sebelum ini,saya sentiasa dibantu oleh speaker saya Saudara Mahmud,tetapi pada hari tersebut,saya memberanikan diri terus berucap di Dewan Makan berseorangan.Terima kasih kepada 3 orang wakil calon saya yang begitu pantas membuat edaran manifesto saya. Selesai berucap, beberapa pelajar yang sedang menikmati makan malam memberi tepukan, terima kasih atas penghargaan anda.

Di hari kedua berkempen, saya memasuki Kolej Kediaman ke-10.Di pintu pagar, telah ada pelajar yang 'duduk-duduk' menantikan calon yang ingin datang berkempen. Saya melangkah menghadap mereka bersama beberapa wakil calon saya. Salah seorang dari mereka bertanyakan surat kebenaran dari saya,dan alhamdulillah saya tunjukkan kepadanya.Lupa bertanya dia siapa,kerana dengan senang hati dia ingin masuk ke kolej dengan membawa surat kebenaran saya. Tidak akan saya diamkan,lantas saya bertanya apa yang ingin dia lakukan.Katanya surat itu perlu ditunjukkan kepada penyelia.Maka saya terus berkata, biar saya sendiri yang berjumpa dengan penyelia. Akhirnya dia berkata, tidak mengapa kerana dia akan menghubungi penyelia dan akan datang berjumpa kami. Saya sedikit lega, kerana saya tidak mahu surat saya sewenangnya diambil sesuka hati. Itu semua penat lelah wakil calon saya berhadapan dengan birokrasi. Saya sempat bertanyakan kepada seorang siswa yang juga 'bersantai' di hadapan pagar. Saya mahukan kepastian, adakah dia JTK KK10. Lalu dia menjelaskan bahawa dia hanya pelajar biasa. Dan seperti biasa, saya katakan kepadanya bahawa dia sangat bagus sanggup mengorbankan masanya demi 'menjaga' kolej kesayangannya. Dia hanya diam.

Lain pulak pengalaman saya berkempen di KK7. Memandangkan sebelum itu saya sendiri melihat beberapa calon umum yang saya kenali ( kerana berjumpa mereka di hari penamaan calon ) memnyampaikan pidato mereka dihadapan pelajar KK3 dengan dipenuhi kelengkapan seperti mikrofon,pengacara majlis dan kerusi untuk penonton, saya kira saya berhak ke KK7 untuk berkempen. Saya masuk bersama kesemua wakil calon saya dan mengedarkan manifesto. Semasa ingin keluar dari sana, sedikit kekecohan berlaku di pintu pagar KK7. Malas melayan kesemua karenah tersebut, saya membawa wakil calon saya (muslimat)ke luar KK7 dan beramah mesra bersama pelajar lain. Selesai semua pertelingkahan, saya masuk ke kereta dan berhajat meneruskan kempen di kolej kediaman lain.Tibatiba salah seorang agen keselamatan kumpulan tertentu yang namanya saya tidak sebutkan di sini, menunjukkan marahnya pada saya.Dia marah-marah tanpa saya dan mendengar dengan jelas butiran percakapan,sambil menunjuk-nunjuk ke arah saya.Akhirnya (dah sampai kemuncak marahnya kerana saya terus melihatnya) dia menjelirkan lidahnya kepada saya. Astaghfirullah, terkejut saya dibuatnya. Tapi saya tak marah, bahkan tergelak. Lucu dengan tindakan kebudak-budakan seperti itu. Saya terus katakan kepada wakil calon saya, "habislah diorang,ada orang yang jaga keselamatan perangai macam tu, memang tak selamatlah diorang nanti.ish ish ish"

Karenah seperti ini terlalu banyak berlaku sepanjang tempoh kempen pilihanraya. Teringat juga kempen saya di salah satu fakulti berdekatan dengan main bus stop. Saya menghulrkan manifesto kepada sekumpulan pelajar, tetapi apa yang menguji saya, salah seorang dari mereka tidak mahu menerima manifesto saya. Dia menggeleng kepala dan terus berpeluk tubuh tanpa melihat kepada saya. Walaupun setelah dinasihati oleh rakannya, dia tetap begitu. Tetapi tak menjadi masalah dan saya tidak sesekali menyalahkannya. Mungkin dia tidak memahami apa yang berlaku,atau telah mendengar kata-kata orang lain. Ia mungkin berlaku kerana itulah pertama kali kami bertemu,saya tidak mengenalinya dan dia juga tidak mengenali saya. Jadi,dia tidak wajar dipersalahkan. Walau apapun, alhamdulillah. Saya puas kerana dapat bercakap dengan mahasiswa. Tidak kira Melayu, Cina, India hatta foreigner students sekalipun. Mendengar sendiri luahan hati mereka,membuatkan saya berfikir panjang mengenai strategi yang boleh membantu selepas ini, tidak kira saya menang atau tidak. Kerana semuanya berkisar tentang tanggungjawab kita sebagai rakan yang wajib berusaha untuk membantu.

Peluang PRK kali ini juga saya ambil dengan bercakap secara terbuka dengan sahabat dari Penggerak Mahasiswa. Akan saya coretkan di sini hasil perbincangan tersebut. Belum masanya lagi. Apa yang penting, ia membuka mata saya bahawa ilmu dan faham itu penting dalam kita bertindak. Bukan hanya berfikir dengan akal semata dan mendengar hujah orang lain. Yang kita tahu,copy and paste kata-kata orang. Lepas tu bila ditanya,jawapan budak-budak yang kita berikan. Allahuakbar, hanya Allah lah yang berkuasa di langit dan bumi, dan berkuasa membuka dan mencerahkan hati.

Sampai di sini sahaja coretan kali ini, insya Allah akan saya sambung di lain masa. Banyak pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama semua. Saya juga memohon agar semua sahabat dapat mendoakan kami di UM. Semoga kebenaran tertegak. Wallahua'alam

Sekitar warna-warni kempen -->











Read More

PILIHAN RAYA DI SEKOLAH

1

Category:

Di dalam kehangatan mahasiswa di beberapa Institusi Pengajian Tinggi melaungkan suara menegakkan nilai demokrasi kampus, sebuah sekolah di Kuala Lumpur pula meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai demokrasi Malaysia kepada para pelajarnya. Pendekatan yang menarik dan kritis yang telah dilakukan oleh warga SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur itu adalah dengan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ketua Pelajar bagi tahun 2010. Walaupun pilihan raya sebegini pertama kali diadakan di Malaysia, namun ia dapat dijalankan dengan jayanya.

PEMIMPIN CILIK

Seperti sedia maklum, fokus utama sesebuah pilihan raya yang dijalankan tidak lain adalah untuk memilih pemimpin yang dipercayai mampu membawa kemajuan, kebaikan dan kesejahteraan di dalam sesebuah kelompok masyarakat. Sistem demokrasi di Malaysia sebenarnya mampu melahirkan pemimpin yang berintegriti seperti yang dimahukan dan diperlukan rakyat jika landasan pemilihan adalah benar dan telus. Atas dasar inilah, saya amat yakin pihak SK Taman Tun Dr Ismail 1, mengambil jalan memberi pendedahan awal kepada para pelajarnya tentang maksud dan tujuan sesebuah pilihanraya diadakan termasuklah memahami antara 3 komponen penting di dalam sesebuah pilihanraya iaitu calon yang bertanding, para pengundi dan sistem pilihanraya itu sendiri.

Pelajar yang menjadi calon pilihanraya tersebut pastinya memperoleh pengalaman yang luar biasa yang pastinya tidak dirasai oleh semua orang. Peluang yang ada jika digarap dengan baik pastinya mampu membina nilai-nilai dan personality seorang pemimpin di dalam diri mereka. Bayangkan, calon-calon Tahun 5 dan 6 yang bertanding, diberi kesempatan berkempen dari kelas ke kelas, memiliki penyokong ( crowd ) tersendiri juga menampilkan kelebihan mereka masing-masing di hadapan pelajar lain. Bukankah ia merupakan satu bentuk persaingan sihat yang membawa kepada anjakan paradigma mereka selaku pelajar senior di sekolah? Inilah nilai tambah ( added value ) yang akan mereka bawa apabila melangkah ke alam persekolahan menengah kelak. 

TEORI ERIK ERIKSON

Menurut Erik Erikson dalam bukunya “Childhood and Society” tahun 1963, perkembangan psikososial terbahagi kepada 8 bahagian. Untuk kanak-kanak di umur sekolah rendah ( school age ), mereka akan mengalami fenomena industri lawan rasa rendah diri ( industry vs inferiority ). Pada peringkat ini, mereka perlu diberi peluang menguasai beberapa kemahiran dan jika gagal, ianya akan memberi impak rasa rendah diri dan tidak memiliki keupayaan bukan sahaja dalam meningkatkan potensi akademik, bahkan di dalam kehidupan sosial mereka. Justeru, saya amat percaya, dengan bimbingan dan pantauan yang konsisten daripada pihak sekolah, pilihan raya sebegini pastinya mampu melahirkan pelajar yang berjiwa kepimpinan, menghormati keadilan dan nilai kemanusiaan serta menjadi pelajar yang sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ‘rakyat’ yang turut dituntut untuk berfungsi dengan baik di sekolah. 

MENCIPTA PERUBAHAN

Lantaran itu, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya menyarankan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar menyambut baik usaha sebegini. Jika pilihanraya sebegini dijadikan kokurikulum wajib di sekolah-sekolah, saya yakin ia mampu menjadi pendukung kuat kepada subjek baru berunsurkan semangat kenegaraan yang akan diperkenalkan bersama Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) pada tahun hadapan. Sekalung tahniah buat guru besar SK Tun Dr Ismail 1 Pn Hjh Nik Nab Bt Sulaiman, para guru, kakitangan sekolah, pegawai SPR, Adik Khairul Azil ( menang 365 undi ), calon-calon yang bertanding, dan seluruh pelajar sekolah atas keberanian mencetuskan perubahan baru dalam dunia pendidikan. Apa yang diharapkan, semoga usaha sebegini tidak terhenti setakat di sini, bahkan akan menjadi titik mula kepada perubahan yang lebih baik dalam negara. Ayuh bersama meneruskan perubahan!
Read More

BANGKITLAH PRO MAHASISWA

0

Category:


Bangkitlah pejuang bangkitlah
Rapatkan barisan rapatkan
Meneruskan langkah perjuangan
Suara dan harapan mahasiswa

Korbankan dirimu korbankan
Kentalkan jiwamu kentalkan
Takkan pernah usai pertarungan
Hingga tertegak kebenaran

Enyahkan rasa takut dan gentar
Robohkan segala kebatilan
Perjuangan harapan bersama
Untukmu varsiti tercinta

Untukmu PRO-MAHASISWA!!!


Read More