PILIHAN RAYA DI SEKOLAH

Category:

Di dalam kehangatan mahasiswa di beberapa Institusi Pengajian Tinggi melaungkan suara menegakkan nilai demokrasi kampus, sebuah sekolah di Kuala Lumpur pula meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai demokrasi Malaysia kepada para pelajarnya. Pendekatan yang menarik dan kritis yang telah dilakukan oleh warga SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur itu adalah dengan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ketua Pelajar bagi tahun 2010. Walaupun pilihan raya sebegini pertama kali diadakan di Malaysia, namun ia dapat dijalankan dengan jayanya.

PEMIMPIN CILIK

Seperti sedia maklum, fokus utama sesebuah pilihan raya yang dijalankan tidak lain adalah untuk memilih pemimpin yang dipercayai mampu membawa kemajuan, kebaikan dan kesejahteraan di dalam sesebuah kelompok masyarakat. Sistem demokrasi di Malaysia sebenarnya mampu melahirkan pemimpin yang berintegriti seperti yang dimahukan dan diperlukan rakyat jika landasan pemilihan adalah benar dan telus. Atas dasar inilah, saya amat yakin pihak SK Taman Tun Dr Ismail 1, mengambil jalan memberi pendedahan awal kepada para pelajarnya tentang maksud dan tujuan sesebuah pilihanraya diadakan termasuklah memahami antara 3 komponen penting di dalam sesebuah pilihanraya iaitu calon yang bertanding, para pengundi dan sistem pilihanraya itu sendiri.

Pelajar yang menjadi calon pilihanraya tersebut pastinya memperoleh pengalaman yang luar biasa yang pastinya tidak dirasai oleh semua orang. Peluang yang ada jika digarap dengan baik pastinya mampu membina nilai-nilai dan personality seorang pemimpin di dalam diri mereka. Bayangkan, calon-calon Tahun 5 dan 6 yang bertanding, diberi kesempatan berkempen dari kelas ke kelas, memiliki penyokong ( crowd ) tersendiri juga menampilkan kelebihan mereka masing-masing di hadapan pelajar lain. Bukankah ia merupakan satu bentuk persaingan sihat yang membawa kepada anjakan paradigma mereka selaku pelajar senior di sekolah? Inilah nilai tambah ( added value ) yang akan mereka bawa apabila melangkah ke alam persekolahan menengah kelak. 

TEORI ERIK ERIKSON

Menurut Erik Erikson dalam bukunya “Childhood and Society” tahun 1963, perkembangan psikososial terbahagi kepada 8 bahagian. Untuk kanak-kanak di umur sekolah rendah ( school age ), mereka akan mengalami fenomena industri lawan rasa rendah diri ( industry vs inferiority ). Pada peringkat ini, mereka perlu diberi peluang menguasai beberapa kemahiran dan jika gagal, ianya akan memberi impak rasa rendah diri dan tidak memiliki keupayaan bukan sahaja dalam meningkatkan potensi akademik, bahkan di dalam kehidupan sosial mereka. Justeru, saya amat percaya, dengan bimbingan dan pantauan yang konsisten daripada pihak sekolah, pilihan raya sebegini pastinya mampu melahirkan pelajar yang berjiwa kepimpinan, menghormati keadilan dan nilai kemanusiaan serta menjadi pelajar yang sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ‘rakyat’ yang turut dituntut untuk berfungsi dengan baik di sekolah. 

MENCIPTA PERUBAHAN

Lantaran itu, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya menyarankan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar menyambut baik usaha sebegini. Jika pilihanraya sebegini dijadikan kokurikulum wajib di sekolah-sekolah, saya yakin ia mampu menjadi pendukung kuat kepada subjek baru berunsurkan semangat kenegaraan yang akan diperkenalkan bersama Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) pada tahun hadapan. Sekalung tahniah buat guru besar SK Tun Dr Ismail 1 Pn Hjh Nik Nab Bt Sulaiman, para guru, kakitangan sekolah, pegawai SPR, Adik Khairul Azil ( menang 365 undi ), calon-calon yang bertanding, dan seluruh pelajar sekolah atas keberanian mencetuskan perubahan baru dalam dunia pendidikan. Apa yang diharapkan, semoga usaha sebegini tidak terhenti setakat di sini, bahkan akan menjadi titik mula kepada perubahan yang lebih baik dalam negara. Ayuh bersama meneruskan perubahan!

Comment (1)

jangan pula sekolah cuma memfokuskan kepada bakal2 pemimpin sehingga melupakan bakal2 pemain (team player) dan bakal2 remaja bermasalah!

adalah wajar saya rasa bagi para pelajar diberi latihan dan pembelajaran khas untuk sistem sebegini. Ini kerana kelajuan kanak2 membesar dari segi fizikal dan mental adalah berbeza. kita sebagai dewasa juga perlu memberi tumpuan khas agar tidak melahirkan ketua pelajar yang kaki buli atau gila kuasa.

Post a Comment