Showing posts with label Kampus. Show all posts
Showing posts with label Kampus. Show all posts

Buang bayi : HEWI PMIUM sokong jatuh hukuman berat

0

Category:


14 Ogos, Petaling Jaya : Hal Ehwal Mahasiswa (HEWI) PMIUM hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Jemaah Menteri yang mengarahkan agar polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Keputusan yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kelmarin itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam membanteras gejala pembuangan bayi yang dilihat semakin kritikal.

Pengerusi HEWI PMIUM, Siti Nadzirah bt Majid menyatakan rasa bimbang melihat kemusnahan institusi sosial yang kian meruncing. “Saya cukup risau dengan masalah masyarakat kita. Setiap hari ada sahaja kes yang memperlihatkan kemusnahan institusi sosial. Kes buang anak, rogol, sumbang mahram dan berzina sudah menjadi amalan masyarakat kita.” katanya.“Tindakan Datuk Seri Shahrizat dan Jemaah Menteri sangat tepat dengan kondisi yang kritikal kini. Sememangnya, jika isu ini tidak ditangani segera, kita bakal menyaksikan keruntuhan institusi sosial dan masa depan negara.”

Beliau dalam kenyataannya turut mencadangkan kerajaan supaya mengambil langkah mendidik masyarakat ke arah pembentukan akhlak dan peribadi mengikut lunas-lunas Islam.
“Dalam Islam, aspek akhlak merupakan antara 3 sendi utama agama. Maka penekanan aspek akhlak ini harus dititikberatkan dalam konteks pendidikan kita sekarang.” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Exco Kebajikan dan Perpaduan PMIUM,
Norhasimah bt Bujang berkata sekarang tibalah masanya kerajaan memikirkan cara melaksanakan syariatullah secara menyeluruh.
“Sebenarnya, kita perlu kembali bermuhasabah, segala yang berlaku kini adalah akibat tidak ada pasakan kepada kehidupan beragama yang sempurna dalam masyarakat.”
Beliau juga mencadangkan kerajaan melaksanakan kempen ‘Jom hidup cara Islam’ sebagai salah satu cara membendung kebejatan sosial ummah.


Terdahulu PMIUM menjalankan kempen ‘Pemakaian Beretika’ sebagai inisiatif menyelesaikan masalah sosial di kampus. -Umtoday
Read More

HEWI PMIUM: Langkah kecil itu telah bermula

2

Category:

Kini telah masuk bulan keempat kepimpinan PMIUM bertukar tangan. Begitu juga dengan HEWI PMIUM. Saya kira jiwa saya lebih dekat untuk disinonimkan dengan HEWI PMIUM kerana sejak di tahun pertama saya begitu terpikat dengan pendekatan HEWI PMIUM pada ketika itu. Apatah lagi sememangnya kini gerakan HEWI PMIUM berada di dalam tanggungjawab saya. Saya bersyukur kerana dianugerahkan seorang pendamping yang begitu serasi Ukhti Siti Najwa Haron dalam memimpin di dalam HEWI PMIUM. Saya kira pengalaman kami bersama dalam memimpin MPP APIUM Nilam Puri sesi 2007/2008 banyak membantu kami.



Langkah kecil HEWI PMIUM telah bermula. Sebagai pembukaan, Team HEWI PMIUM mengambil inisiatif mengadakan Speaker Corner Istimewa HEWI sebagai mencetuskan kembali mood feminin bersama HEWI PMIUM. Alhamdulillah, SC pertama yang dikhususkan untuk menampilkan beberapa orang pimpinan-pimpinan siswi berjaya dilaksanakan. Walaupun jumlah hadirin yang mendengarnya masih belum mencapai sasaran kami, saya masih perlu bersyukur kerana sedikit sebanyak, ada yang mula membuka mata pada HEWI PMIUM.


Langkah diteruskan lagi dengan melancarkan TEAM HEWI PMIUM pada Minggu Promo Persatuan UM. Terima kasih buat YDP PMIUM yang sudi bersama dalam pelancaran. Terima kasih juga buat beberapa orang pimpinan mahasiswi yang sudi hadir untuk bersama menyemai kekuatan kita yang mulai tumbuh. Di kesempatan yang sama, HEWI PMIUM juga turut sama bekerjasama dalam melancarkan Kempen Pakaian Beretika anjuran PMIUM.

 Bersama Prof Datin Seri Jamilah Ariffin

Perbincangan bersama Dr Jariah dari UPM 

Rezeki Allah datang lagi, langkah HEWI PMIUM diteruskan. Kali ini, HEWI PMIUM diberi kesempatan dan peluang untuk bersama-sama meraikan Majlis Pelancaran Buku Wanita & Pembangunan yang diselaraskan sepenuhnya oleh YAD Prof Datin Seri Jamilah Ariffin ( isteri Menteri Besar Johor ) di Hilton Petaling Jaya. Saya tidak mahu peluang begini hanya dirasai oleh aktivis HEWI PMIUM, justeru saya menjemput sekali beberapa orang First Lady dari beberapa persatuan yang ada di Universiti Malaya untuk bersama kami. Antaranya ialah Exco HELWA MPMUM-Siti Zuraini, NYDP Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Perak-Intan Shafinaz, NYDP Persatuan Bahasa Cina UM-Yn Jiou, NYDP Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan-Nurul Farihah, NYDP Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam-Nur Dalilah, NYDP Persatuan Mahasiswa Kedah-Fatin Nasibah, NYDP Persatuan Mahasiswa Johor-Jamalia, SUA Persatuan Mahasiswa Sabah- Azlinah dan Exco Persatuan Mahasiswa Selangor sebagai wakil NYDP yang tidak dapat hadir. Ternyata peluang yang ada digunakan sebaik mungkin oleh pimpinan mahasiswi untuk saling bertukar idea dan pandangan bukan sahaja sesama mahasiswa bahkan bersama tokoh akademik terkenal yang hadir bersama di dalam majlis tersebut.


Keesokan harinya, HEWI PMIUM yang terdiri daripada beberapa orang pimpinan PMIUM, pimpinan PMAPIUM dan siswi UM turun kepada masyarakat untuk bersama ibu-ibu HELWA Vista Angkasa di Surau Al-Hidayah Vista Angkasa. Majlis Tadarus Al-Quran yang ringkas tapi menenangkan itu adalah usaha terbaik yang dilakukan oleh HELWA Vista Angkasa untuk mengumpulkan ibu-ibu di sekitar untuk sama-sama bertadarus. bacaan yang kurang, diperbetulkan, ukhwah yang jarang, dierat-eratkan. Saya percaya ia memberi satu makna pada semua siswi yang terlibat. Paling tidak, ia cukup membuatkan kita seharusnya bersyukur kerana dikurniakan Allah kemahiran membaca Al-Quran.Alhamdulillah...

Saya kira semua ini hanya baru di peringkat permulaan HEWI PMIUM memulakan langkah. Terlalu banyak lagi kelemahan yang perlu dibaiki, kekuatan yang perlu ditambah, dan kerja keras yang perlu digandakasn untuk mencapai matlamat. Terbaru kini, TEAM HEWI PMIUM dalam proses menganjurkan sebuah projek siswi iaitu Ops Sayang Siswi yang memfokuskan 3 aspek utama- moral&jati diri, keselamatan dan kesihatan. Mana-mana rakan mahasiswi yang berminat untuk menjadi ahli jawatankuasa, boleh terus menghubungi saya di alamat emel nuwairah_azzahra@yahoo.co.uk atau di facebook saya Siti Nadzirah Majeed. Projek mega ini tidak lain hanyalah untuk memberi kesedaran, kefahaman dan pendedahan kepada seluruh warga kampus termasuklah staf pekerja tentang 3 perkara yang difokuskan.


Jauh di sudut hati, saya masih beranggapan HEWI PMIUM masih terlalu lemah untuk mencapai objektifnya. Sokongan dan bantuan daripada seluruh rakan-rakan amat kami perlukan demi menjadikan HEWI PMIUM berjaya menjadi pendorong kepada kesatuan seluruh mahasiswi dalam usaha membina personaliti siswi yang unggul. Kepada seluruh adik-beradik TEAM HEWI PMIUM, teruskan momentum kita!

~CARING, SHARING, LOVING~

Read More

CARING, SHARING and LOVING: Makna Kehidupan

1

Category:


            Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT di atas pelancaran Team HEWI (Hal Ehwal Wanita dan Siswi) PMIUM pada hari Khamis yang lalu. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih buat rakan-rakan mahasiswi yang hadir dan yang sudi memberikan ucapan. Ianya adalah suatu perkembangan positif Team HEWI PMIUM di samping menjadi titik tolak kepada gerakan muslimat yang lebih berkualiti.
            Antara perkara terpenting yang menjadi perhatian kali ini adalah tema Team HEWI PMIUM kali ini yang masih lagi mengekalkan tema yang lalu iaitu Caring,Sharing and Loving. Tema ini diambil bukanlah hanya kerana mahukan identiti Team HEWI PMIUM kelihatan lebih feminin semata tetapi tidak lain kerana mengambil ajaran Al-Quran dan sunnah itu sendiri.Bahkan sebenarnya tema Caring, Sharing and Loving ini telah lama diajarkan oleh Islam kepada seluruh manusia sejagat. Team HEWI PMIUM hanya berhajat untuk membawanya untuk kembali dihayati dan diamalkan oleh masyarakat.
Caring: tanggungjawab bersama
            Mengambil peduli atau caring merupakan suatu amalan mulia yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat, ahlul bait, seterusnya kepada manusia seluruhnya. Pernah suatu ketika Rasulullah SAW bertemu dengan seorang Yahudi buta yang miskin dan tidak berdaya. Rasulullah atas sikapnya yang begitu mengambil peduli keadaan masyarakat sekelilingnya datang membawa makanan dan menyuapkannya ke mulut Yahudi buta tersebut. Begitulah amalan Rasulullah SAW sehingga baginda wafat walaupun dalam tempoh tersebut mulut si Yahudi buta tidak pernah berhenti mencaci Rasulullah SAW. Baginda juga ada bersabda di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
“ Barangsiapa tidak mempedulikan urusan kaum muslimin, maka dia bukan termasuk dari mereka”.

Sharing: yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
            Saling berkongsi atau sharing seringkali diterjemahkan oleh peribahasa Melayu yang begitu popular iaitu yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.Perkongsian yang selalunya di antara 2 teman ini bukanlah hanya terbatas kepada perkara gembira dan membahagiakan semata, tetapi biarlah perkara yang menyedihkan juga dikongsi agar kurang bebanan kawan yang menanggungnya. Bak kata pepatah Inggeris a friend in need is a friend indeed. Di dalam Al-Quran Al-Karim, Allah SWT mengajarkan manusia untuk saling berkongsi dengan cara bantu-membantu dan saling melengkapi di antara satu sama lain. Di dalam kitabullah Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan bahawa sikap saling melengkapi ini akan membuahkan kekuatan yang luar biasa kepada manusia. Ianya disebut di dalam Surah Al-Qashash ayat 35 yang bermaksud :
"Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan Kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang".

Loving: mengikat hati dan ukhuwah
            Di dalam satu hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya:
“ Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan.Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?”Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”.Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?” “Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT.”Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah”.

Berdasarkan kepada hadith di atas, dapat kita mengenalpasti bahawa rasa cinta atau loving sesama manusia itu adalah fitrah yang juga akan membawa kepada cinta Allah. Perpaduan dan kesatuan manusia tidak akan terbentuk jika tanpa rasa cinta sesama manusia. Dengan sikap saling mengasihi inilah yang akan dapat menjamin keamanan dunia sejagat. Islam telah mengajarkannnya beribu tahun lampau, tinggal sahaja manusia khususnya muslim untuk mengamalkannya demi memastikan keharmonian hidup.






Adalah diharapkan agar semua siswi Team HEWI PMIUM tidak hanya menjadi tema Caring, Sharing and Loving ini semata-mata hanya sekadar tema, tetapi amalkanlah ia di dalam kehidupan seharian agar ia lebih bermakna. Wallahua’lam.
Read More

Memori setahun PMIUM

0

Category:

Read More

Siri 1: KABINET KARTUN MPMUM ???

0

Category:


Seawal hari pengumuman keputusan PRK 2010 pada 28 Januari lalu, saya telah menjangkakan kabinet 'serupa' sekarang akan dibentuk. Tidak akan ada ruang untuk saya dan rakan calon umum lain untuk menduduki kerusi Majlis Tertinggi MPMUM sesi kali ini. Tidak lain, disebabkan Gerak telah memenangi 21 kerusi sekaligus menjadikan mereka kumpulan majoriti di dalam kabinet MPMUM.

9 Februari 2010, kami dipanggil untuk menghadiri 1 mesyuarat bagi membentuk kabinet MPMUM bertempat di MP2. Mesyuarat yang pada mulanya dipengerusikan oleh En.Puniamurthy itu bertukar tangan kepada Saudara Ilyas (calon fakulti pendidikan) walaupun mulanya ada juga yang mencadangkan saudara Syahid (calon API) sebagai pengerusi. Kekalahan pertama kami atas nama UNDIAN MAJORITI. En Puniamurthy meninggalkan mesyuarat tetapi tetap meninggalkan 2 orang pegawai HEP bersama kami yang pada mulanya berjanji hanya menjadi pemerhati. Atas sebab saya berasa kewujudan mereka tidak perlu di dalam MP2 pada malam itu, saya bisikkan kepada Saudara Fadzil, supaya meminta dengan baik daripada kedua pegawai HEP supaya meninggalkan kami sahaja kerana pemilihan itu adalah 'kerja' kami.
Tetapi tiada respon yang diberikan. Tidak mengapalah, kalau mereka tetap mahu 'menonton' acara yang pasti dinantikan.

Belum pun sempat Pengerusi menghabiskan kata aluannya, berdiri seorang YB Gerak untuk mencalonkan nama YDP pilihan mereka. Gelojoh nampaknya YB-Yb Gerak ini untuk menyelesaikan 'task' mereka pada malam itu. Mahukan ketelusan, Saudara Syahid bangun dan mencadangkan supaya undian dibuat secara sulit dengan menggunakan kertas,dan bukan undian tangan. Berdiri pula seorang lagi YB Gerak dan membuat bantahan serta mencadangkan undian dibuat dengan mengangkat tangan. Mungkin untuk memastikan tiada yang BELOT di kalangan mereka. Sedikit berbahas, akhirnya Pengerusi bersetuju undian dibuat secara sulit. Sebelum cadangan nama dibuat, saya berdiri dan mencadangkan supaya setiap pencalonan perlu disertakan dengan hujah. Atas alasan, kita mahu menilai dan melihat kredibiliti dan kelayakan seseorang untuk sesuatu kerusi. Walaupun pada mulanya, YB-YB Gerak membantah atas alasan tidak mahu membuang masa kerana banyak kerja lain, cadangan saya tetap diterima. Walaupun saya tahu, cadangan ini tidak akan mengubah 'kabinet' yang telah mereka persetujui sebelumnya, saya tetap mahu semua YB yang hadir pada malam itu BUKA MATA dan sedar kedudukan seseorang sebagai seorang pemimpin. Ada juga rakan yang berkata, sekurang-kurangnya yang tidak layak itu sedar diri. Ya mungkin, itu saya tidak pasti. Tetapi, tidak cukup dengan itu, saya minta agar dilakukan sedikit soal jawab berhubung kelayakan satu-satu calon yang dicadangkan.Tetap adanya bantahan, atas alasan tidak mahu membuang masa. Saudara Keng Fai lantas berdiri dan mengingatkan semua agar sedar pelantikan pada malam itu bukan untuk sehari dua, jadi berbaloi jika kita benar-benar berhati-hati dalam pencadangan.

Menghampakan, pihak Pemerhati sudah mula 'enter frame'. Sedangkan saya kira waktu itu YB-YB Gerak sudah mula ketandusan hujah balas. Diungkit soal peraturan yang tidak relevan, maka bersemangat semula YB-YB Gerak. Nampaknya Pemerhati di pihak mereka. Itulah lumrah di UM, saya cukup mengerti. Masuk sahaja fasa pencadangan, naiklah beberapa nama untuk 4 kerusi utama- YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari.

YDP- Khairul Anuar (21 undi) VS Mohd Fadzil (20 undi)
NYDP-
Tee Wooi Keat (22 undi) VS Mohd Fadzil (19 undi)
S/U- Rahmah Husna (21 undi) VS Siti Nadzirah (20 undi)
Bendahari-
Koo Wei Juin (21 undi) VS Lee Keang Kiet (20 undi)

Nyatanya, YB-YB Gerak yang dicadangkan, menang dengan mudahnya, kerana tiada yang BELOT di kalangan mereka. Ya, pasti taat dan patuh menjadi prinsip pegangan mereka. Syabas! Mungkin mereka berasakan tanggungjawab mematuhi arahan itu lebih awla berbanding mengutamakan pilihan mahasiswa yang telah memilih siapa pemimpin mereka. Fikirkan lah!

Berakhir sudah pelantikan 4 kerusi utama. Tersenyum lega barisan YB Gerak, berjaya akhirnya menaikkan calon kehendak mereka. Apa tidaknya, mereka menang dengan UNDI MAJORITI. Bagi saya, pelantikan pada malam itu akan menjanjikan jalan sukar yang akan saya dan rakan lain hadapi di masa hadapan. Akankah benar jangkaan saya?

Sebelum menutup majlis, saya bangkit menyatakan pandangan dan pesanan, khusus buat YDP Gerak. 2 sahaja pesanan saya, dia perlu berusaha memastikan semua YB yang ada menjalankan amanah,bukan hanya tahu mengiktiraf diri sebagai MPMUM dan memastikan kehadiran semua ke mesyuarat yang diadakan. Di hati saya berdoa semoga YDP Gerak ini berfikir panjang dan menilai apa yang saya katakan, kerana saya mahu dia menjadi pemimpin mahasiswa yang berfikir dan punya pendirian sendiri. Tetapi saya akhirnya hampa sendiri.

Bersambung.....







Read More

Pertikaian Terhadap Manifesto

0

Category:

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini saya mendapat berita bahawa salah sebuah blog telah menganalisis manifesto yang saya bawakan. Terima kasih saya ucapkan kerana bersusah payah menganalisisnya. Setelah saya fikir-fikirkan amat perlu untuk saya menjelaskan soal manifesto saya kepada semua, tapi bukan ini masanya. Rasionalnya? Kerana keputusan rasmi masih belum dikeluarkan. Untuk itu,saya perlu berhati-hati dengan tindakan saya kerana mahu mengelakkan permasalahan lain pula yang akan timbul.

Cuma secara ringkasnya, manifesto yang saya bawakan adalah berdasarkan beberapa kajian dan perbincangan. Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk meraih undi ketika merangka manifesto tersebut, bahkan saya berani membawanya kerana saya yakin ia tidak mustahil untuk dilaksanakan. Ketika berkempen di beberapa fakulti juga, saya menjelaskan serba sedikit sebab musabab saya memilih manifesto tersebut. Alhamdulillah, kebanyakan rakan yang bertanya sendiri kepada saya boleh menerimanya. Mungkin ada yang beranggapan manifesto saya yang sekadar 4 perkara itu adalah sangat sedikit dan tidak relevan memandangkan saya bertanding untuk kerusi umum, namun apa yang saya sasarkan bukan memenuhi kertas manifesto dengan janji yang pelbagai, tetapi yang paling penting kapasiti dan ruang yang saya ada untuk melaksanakannya kelak.

Setakat itu sahaja yang boleh saya sebutkan di sini. Saya tidak pernah melarang atau menghalang sesiapa pun untuk menilai saya dan manifesto yang saya bawakan, itu adalah hak individu masing-masing. Insya Allah saya bersedia jika ada yang mahu berbincang dan berbahas bersama saya. Wallahua'lam.
Read More

Hari-hari yang bermakna...

1

Category: ,

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, peluang yang Allah berikan kali ini sangat besar maknanya pada diri saya. Tidak pernah saya terfikir untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus UM,walaupun saya sememangnya bercita-cita mahu menjadi seorang senator. Walaubagaimanaun, takdir yang telah Allah janjikan itu mengatasi segalanya. Semenjak di fasa persediaan, wajib ke atas saya sentiasa berfikiran positif terhadap apa yang berlaku di sekeliling saya. Paling menyentak perasaan saya,adalah apabila keputusan peperiksaan saya menurun semester lepas. Namun alhamdulillah, ia menjadi pengajaran yang baik buat saya. Apalagi tatkala mengetahui keputusan saya lebih baik berbanding mereka yang tidak berpersatuan, saya jadi cukup bersyukur.

Bertungkus lumus memenuhkan jadual kempen selama 2 hari sememangnya menguji kekuatan semangat saya. Bahkan juga menguji kesabaran semua wakil calon saya ( Ust Izzat, Suhailah, Najwa, Ust Tarmizi, Kak Ulfah, Kak Mas, Kak Wan, Syahriul dan speaker saya Mahmud ). Terima kasih yang tidak terhingga buat anda semua. Almaklumlah saya ini agak cerewet sedikit dalam beberapa perkara. Juga buat sahabat Fan Club yang tidak pernah putus asa menyokong saya, jasa baik kalian amat saya hargai. Atas semangat mereka,saya mencari kekuatan untuk bertahan, walaupun dalam masa yang sama saya menerima beberapa kritikan yang menyakitkan.Alhamdulillah,tempoh tersebut berjaya kami redah dengan pertolongan Allah.

Sememangnya tempoh berkempen yang singkat memaksa kami menangguhkan masa makan.Kepada semua wakil calon, maafkan saya andai ada yang terpaksa mengikat perut.Sehinggakan dalam 2 hari, makanan tengah hari kami menjadi makan malam yang hanya kami makan pada jam 9 malam.Saya yakin sahabat calon yang lain juga begitu. Inilah pengorbanan yang terpaksa kita lakukan. Bercakap soal kempen, apa yang mencabar saya adalah masuk ke kolej-kolej kediaman. Almaklumlah,terdapat beberapa kolej yang di'cop' sebagai 'zon' pihak tertentu yang saya kira lebih kuah dari nasi. Tetap alhamdulillah,saya berjaya memasuki kesemua kolej tanpa halangan yang besar berbanding calon-calon umum yang lain seperti Saudara Syafiq Badrishah. Antara pengalaman yang menarik adalah saya bersama wakil calon saya sebanyak 3 orang dan kesemuanya muslimat,berkempen di Kolej Kediaman Kedua. Dengan kekuatan 4 orang dan hanya tinggal 3 minit sahaja masa berkempen,kami mencabar diri. Jika sebelum ini,saya sentiasa dibantu oleh speaker saya Saudara Mahmud,tetapi pada hari tersebut,saya memberanikan diri terus berucap di Dewan Makan berseorangan.Terima kasih kepada 3 orang wakil calon saya yang begitu pantas membuat edaran manifesto saya. Selesai berucap, beberapa pelajar yang sedang menikmati makan malam memberi tepukan, terima kasih atas penghargaan anda.

Di hari kedua berkempen, saya memasuki Kolej Kediaman ke-10.Di pintu pagar, telah ada pelajar yang 'duduk-duduk' menantikan calon yang ingin datang berkempen. Saya melangkah menghadap mereka bersama beberapa wakil calon saya. Salah seorang dari mereka bertanyakan surat kebenaran dari saya,dan alhamdulillah saya tunjukkan kepadanya.Lupa bertanya dia siapa,kerana dengan senang hati dia ingin masuk ke kolej dengan membawa surat kebenaran saya. Tidak akan saya diamkan,lantas saya bertanya apa yang ingin dia lakukan.Katanya surat itu perlu ditunjukkan kepada penyelia.Maka saya terus berkata, biar saya sendiri yang berjumpa dengan penyelia. Akhirnya dia berkata, tidak mengapa kerana dia akan menghubungi penyelia dan akan datang berjumpa kami. Saya sedikit lega, kerana saya tidak mahu surat saya sewenangnya diambil sesuka hati. Itu semua penat lelah wakil calon saya berhadapan dengan birokrasi. Saya sempat bertanyakan kepada seorang siswa yang juga 'bersantai' di hadapan pagar. Saya mahukan kepastian, adakah dia JTK KK10. Lalu dia menjelaskan bahawa dia hanya pelajar biasa. Dan seperti biasa, saya katakan kepadanya bahawa dia sangat bagus sanggup mengorbankan masanya demi 'menjaga' kolej kesayangannya. Dia hanya diam.

Lain pulak pengalaman saya berkempen di KK7. Memandangkan sebelum itu saya sendiri melihat beberapa calon umum yang saya kenali ( kerana berjumpa mereka di hari penamaan calon ) memnyampaikan pidato mereka dihadapan pelajar KK3 dengan dipenuhi kelengkapan seperti mikrofon,pengacara majlis dan kerusi untuk penonton, saya kira saya berhak ke KK7 untuk berkempen. Saya masuk bersama kesemua wakil calon saya dan mengedarkan manifesto. Semasa ingin keluar dari sana, sedikit kekecohan berlaku di pintu pagar KK7. Malas melayan kesemua karenah tersebut, saya membawa wakil calon saya (muslimat)ke luar KK7 dan beramah mesra bersama pelajar lain. Selesai semua pertelingkahan, saya masuk ke kereta dan berhajat meneruskan kempen di kolej kediaman lain.Tibatiba salah seorang agen keselamatan kumpulan tertentu yang namanya saya tidak sebutkan di sini, menunjukkan marahnya pada saya.Dia marah-marah tanpa saya dan mendengar dengan jelas butiran percakapan,sambil menunjuk-nunjuk ke arah saya.Akhirnya (dah sampai kemuncak marahnya kerana saya terus melihatnya) dia menjelirkan lidahnya kepada saya. Astaghfirullah, terkejut saya dibuatnya. Tapi saya tak marah, bahkan tergelak. Lucu dengan tindakan kebudak-budakan seperti itu. Saya terus katakan kepada wakil calon saya, "habislah diorang,ada orang yang jaga keselamatan perangai macam tu, memang tak selamatlah diorang nanti.ish ish ish"

Karenah seperti ini terlalu banyak berlaku sepanjang tempoh kempen pilihanraya. Teringat juga kempen saya di salah satu fakulti berdekatan dengan main bus stop. Saya menghulrkan manifesto kepada sekumpulan pelajar, tetapi apa yang menguji saya, salah seorang dari mereka tidak mahu menerima manifesto saya. Dia menggeleng kepala dan terus berpeluk tubuh tanpa melihat kepada saya. Walaupun setelah dinasihati oleh rakannya, dia tetap begitu. Tetapi tak menjadi masalah dan saya tidak sesekali menyalahkannya. Mungkin dia tidak memahami apa yang berlaku,atau telah mendengar kata-kata orang lain. Ia mungkin berlaku kerana itulah pertama kali kami bertemu,saya tidak mengenalinya dan dia juga tidak mengenali saya. Jadi,dia tidak wajar dipersalahkan. Walau apapun, alhamdulillah. Saya puas kerana dapat bercakap dengan mahasiswa. Tidak kira Melayu, Cina, India hatta foreigner students sekalipun. Mendengar sendiri luahan hati mereka,membuatkan saya berfikir panjang mengenai strategi yang boleh membantu selepas ini, tidak kira saya menang atau tidak. Kerana semuanya berkisar tentang tanggungjawab kita sebagai rakan yang wajib berusaha untuk membantu.

Peluang PRK kali ini juga saya ambil dengan bercakap secara terbuka dengan sahabat dari Penggerak Mahasiswa. Akan saya coretkan di sini hasil perbincangan tersebut. Belum masanya lagi. Apa yang penting, ia membuka mata saya bahawa ilmu dan faham itu penting dalam kita bertindak. Bukan hanya berfikir dengan akal semata dan mendengar hujah orang lain. Yang kita tahu,copy and paste kata-kata orang. Lepas tu bila ditanya,jawapan budak-budak yang kita berikan. Allahuakbar, hanya Allah lah yang berkuasa di langit dan bumi, dan berkuasa membuka dan mencerahkan hati.

Sampai di sini sahaja coretan kali ini, insya Allah akan saya sambung di lain masa. Banyak pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama semua. Saya juga memohon agar semua sahabat dapat mendoakan kami di UM. Semoga kebenaran tertegak. Wallahua'alam

Sekitar warna-warni kempen -->











Read More