CARING, SHARING and LOVING: Makna Kehidupan

Category:


            Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT di atas pelancaran Team HEWI (Hal Ehwal Wanita dan Siswi) PMIUM pada hari Khamis yang lalu. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih buat rakan-rakan mahasiswi yang hadir dan yang sudi memberikan ucapan. Ianya adalah suatu perkembangan positif Team HEWI PMIUM di samping menjadi titik tolak kepada gerakan muslimat yang lebih berkualiti.
            Antara perkara terpenting yang menjadi perhatian kali ini adalah tema Team HEWI PMIUM kali ini yang masih lagi mengekalkan tema yang lalu iaitu Caring,Sharing and Loving. Tema ini diambil bukanlah hanya kerana mahukan identiti Team HEWI PMIUM kelihatan lebih feminin semata tetapi tidak lain kerana mengambil ajaran Al-Quran dan sunnah itu sendiri.Bahkan sebenarnya tema Caring, Sharing and Loving ini telah lama diajarkan oleh Islam kepada seluruh manusia sejagat. Team HEWI PMIUM hanya berhajat untuk membawanya untuk kembali dihayati dan diamalkan oleh masyarakat.
Caring: tanggungjawab bersama
            Mengambil peduli atau caring merupakan suatu amalan mulia yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat, ahlul bait, seterusnya kepada manusia seluruhnya. Pernah suatu ketika Rasulullah SAW bertemu dengan seorang Yahudi buta yang miskin dan tidak berdaya. Rasulullah atas sikapnya yang begitu mengambil peduli keadaan masyarakat sekelilingnya datang membawa makanan dan menyuapkannya ke mulut Yahudi buta tersebut. Begitulah amalan Rasulullah SAW sehingga baginda wafat walaupun dalam tempoh tersebut mulut si Yahudi buta tidak pernah berhenti mencaci Rasulullah SAW. Baginda juga ada bersabda di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
“ Barangsiapa tidak mempedulikan urusan kaum muslimin, maka dia bukan termasuk dari mereka”.

Sharing: yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
            Saling berkongsi atau sharing seringkali diterjemahkan oleh peribahasa Melayu yang begitu popular iaitu yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.Perkongsian yang selalunya di antara 2 teman ini bukanlah hanya terbatas kepada perkara gembira dan membahagiakan semata, tetapi biarlah perkara yang menyedihkan juga dikongsi agar kurang bebanan kawan yang menanggungnya. Bak kata pepatah Inggeris a friend in need is a friend indeed. Di dalam Al-Quran Al-Karim, Allah SWT mengajarkan manusia untuk saling berkongsi dengan cara bantu-membantu dan saling melengkapi di antara satu sama lain. Di dalam kitabullah Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan bahawa sikap saling melengkapi ini akan membuahkan kekuatan yang luar biasa kepada manusia. Ianya disebut di dalam Surah Al-Qashash ayat 35 yang bermaksud :
"Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan Kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang".

Loving: mengikat hati dan ukhuwah
            Di dalam satu hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya:
“ Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan.Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?”Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”.Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?” “Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT.”Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah”.

Berdasarkan kepada hadith di atas, dapat kita mengenalpasti bahawa rasa cinta atau loving sesama manusia itu adalah fitrah yang juga akan membawa kepada cinta Allah. Perpaduan dan kesatuan manusia tidak akan terbentuk jika tanpa rasa cinta sesama manusia. Dengan sikap saling mengasihi inilah yang akan dapat menjamin keamanan dunia sejagat. Islam telah mengajarkannnya beribu tahun lampau, tinggal sahaja manusia khususnya muslim untuk mengamalkannya demi memastikan keharmonian hidup.






Adalah diharapkan agar semua siswi Team HEWI PMIUM tidak hanya menjadi tema Caring, Sharing and Loving ini semata-mata hanya sekadar tema, tetapi amalkanlah ia di dalam kehidupan seharian agar ia lebih bermakna. Wallahua’lam.

Comments (0)

Post a Comment