Lelaki rela 'dimadu'!

Category:


Laporan My Metro Ahad, bertarikh 10.10.2010 berkaitan perempuan simpanan yang dibela oleh beberapa orang lelaki dalam satu masa sewajarnya membuat kita semua membuka mata.

Soal ia haram dan salah di sisi agama dan moral manusia, merupakan satu sudut pandang yang tidak boleh dinafikan. Cuma di satu sudut pandang lagi, saya menganggap ia cukup melambangkan ‘ketidakstabilan’ dan ‘kesongsangan’ ketara dalam peradaban masyarakat kini. Fitrahnya seorang lelaki tidak akan boleh menerima kecurangan pasangannya. Ada wanita yang dipukul, diceraikan bahkan diseksa sehingga mati dek kerana cemburu seorang lelaki. Tetapi hari ini kita berdepan pula dengan gejala yang boleh dikatakan pelik dan dahsyat apabila para lelaki bersedia untuk ‘dimadukan’. 

Apakah ia disebabkan oleh ‘jiwa lelaki’ Malaysia yang semakin lemah dan buta?

Atau mungkinkah ia disebabkan oleh keadaan masyarakat kita yang dididik dengan keterbukaan yang melampau?



Segala yang ‘luar biasa’ kini telah menjadi kebiasaan yang seolah-olah ‘diraikan’. Sudah ramai lelaki yang rela berkongsi kasih, walaupun ternyata kasih tersebut haram untuk dinikmati. Apa yang membimbangkan, golongan lelaki sebegini turut rela jika berkongsi kasih seorang isteri. Isteri yang sepatutnya dijaga dan dilindungi, bahkan rela di’pinjam’kan kepada orang lain. Di mana letak tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki? Kedayusan lelaki sebegini akan menghancurkan sistem kehidupan masyarakat Malaysia sendiri.

Saya seru kepada mereka yang tidak henti-henti memperjuangkan konsep monogami dalam perkahwinan agar beralih angin untuk memperjuangkan pula isu ini. Tidak wajar seorang lelaki rela berkongsi wanita apatah lagi berkongsi isteri. Seharusnya para lelaki sedar dan berubah dari kesongsangan dan ketidakstabilan yang luar biasa ini kepada fitrahnya sebagai lelaki yang melindungi. Seorang isteri yang dimadukan tidak pernah dilarang oleh agama asal sahaja cukup syarat dan maksudnya. Tetapi jika lelaki atau suami yang sanggup bermadu, nantikanlah azab dan balasan tuhan kepada umat manusia.

“Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), Dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) Yang mereka kerjakan. Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya. Kemudian, Sesungguhnya mereka akan menderita bakaran neraka. Akhirnya dikatakan (kepada mereka): "Inilah Dia (azab seksa) Yang kamu dustakan dahulu."- Al-mutaffifin, 14-17.

Siti Nadzirah binti Majeed
TYDP Persatuan Mahasiswa Islam UM merangkap Timb.Pengerusi SIGMA GAMIS 2010/2011

Comments (0)

Post a Comment