PARTI ISLAM KE SABAH DAN SARAWAK

Category:

" Sabah tanah airku
Negeri kita yang tercinta
Pemuda pemudi semua marilah
Bangunlah bersatu semua
Marilah bersama serta maju jaya
Merdeka sepanjang masa
Bersatu segala bangsa sentosa
Sabah negeri merdeka... "




Terngiang-ngiang lagu negeri yang sebenarnya kian pudar dalam kotak memori. Hingga membuatku terlupa pada beberapa ayat terakhir lagu yang merupakan 'zikir' wajib di zaman persekolahan suatu masa dahulu. Ingatan kepada lagu ini kembali di saat mendapat perkhabaran bahawa Pemuda PAS akan mengkaji peluang dan kekuatan untuk bertapak di Sabah dan Sarawak. Oh negeriku, kali ini kau merupakan pilihan Allah untuk menjadi tapak pentarbiyah agamaNya yang syumul....Itu harapan yang mula tercetus di hati. Melihat kepada perkembangan politik di tanah kelahiranku ini, kadang kala terbit juga kesayuan di hati. Bila agaknya tanah ini akan menghijau semula? Setelah merah memalit bumi, kini tanah sabah bertukar kebiruan yang hingga menyebabkan penduduknya lesu dalam kesenangan yang palsu dan melemahkan. Saya mungkin begitu berani menyatakannya kerana sebagai anak jati saya sedar dan merasai sendiri gejolak dan realiti ini. Bumi sabah tidak pernah bertukar wajah politiknya, meskipun berlakunya beberapa perubahan dalam rancak politik PRU 12 yang lepas. Namun kerancakan perubahan itu tidaklah sebesar mana. Hanya di beberapa buah daerah kecil yang merasainya. Bahkan sebenarnya di daerah teratak indahku, nyata tiada apa yang berubah. Pernah sekali ku heret ayah tercinta untuk membincangkannya. Pasar awam yang sudah bertahun tidak dibaikpulih selepas kebakaran ku ambil menjadi 'isu' untuk membongkar kepalsuan yang tersembunyi.

"Abah, rasanya bila pasar awam mau dibina balik? Macam tiada ja orang yang mau ambil peduli..." tanyaku pada seorang guru bersara, abahku sendiri, dalam bahasa daerah tentunya.

"Dekat-dekat pilihan raya nanti, mesti ramai yang berebut-rebut mau bina pasar ni. Nda payah risau..." jawabnya.


Jawapan serba ringkas itu ku ambil menjadi hujah pertama ku untuk menyatakan betapa pemimpin yang ada mengejar nama dan kuasa, bukan khidmat dan tanggungjawab. Belum lagi ditanya apakah nasib peniaga yang sebelum ini bertapak di dalamnya. Adakah mendapat perhatian sewajarnya? Adakah ada pihak yang mengambil peduli? Soalan yang tidak pasti jawapannya. Ingatan menerjah lagi pada seorang budak lelaki kurang siuman yang selalu merayau-rayau di pekan kesayanganku.


*gambar hiasan semata-mata

Menginap di perhentian bas,belakang perpustakaan awam, belakang KFC, tangga pasar awam dan di hadapan deretan bangunan kedai menjadi pekerjaan tetapnya. Menurut abah yang merupakan sumber maklumat utamaku di kampung, setiap bulan budak lelaki tersebut akan mendapat sumbangan kebajikan dari jabatan kebajikan masyarakat ( JKM ). Ops, tersilap. Bukan budak tersebut, tetapi bapanya. Si bapa akan mencari anaknya itu dan dibawa ke JKM semata-mata untuk mengambil duit sumbangan. Selepas itu, si anak akan di'bebas'kan semula untuk menjalankan rutin hariannya tanpa ada siapa pun yang peduli. Bukan tiada pihak yang tahu, tetapi ia dibiarkan berjalan mengikut kebiasannya tanpa perubahan. Aku mengeluh sendirian. Justeru adakah tugas JKM hanya memberi duit sumbangan? Mana perginya janji-janji kebajikan yang diwar-warkan sebelum ini? Aku lantas mengutuk di dalam hati. Atas dasar inilah, betapa aku amat berharap Parti Islam datang membina pengaruhnya di Sabah Sarawak. Kerana aku yakin dan percaya, matlamat Islam yang dibawa oleh Parti Islam pasti membuahkan hasil iman dan taqwa dalam diri setiap penduduk bumi bawah bayu ini. Haruman dan cahayanya seakan sudah ku rasai dan makin mengurangkan kesabaranku untuk turut sama menyumbang tenaga bagi mengembangkannya.Isu kebajikan, kemiskinan, gejala tidak bermoral, dadah, sumbang mahram, rogol, pelacuran, kristianisasi dan semua isu-isu realiti ini amat dominan untuk diambil peduli. Kerisauanku memuncak apabila melihat semakin banyak bar-bar dan pusat hiburan dibuka, semakin banyak jugak lah sahabat-sahabatku di sekolah dulu yang kini sudah berimej baru- 'free hair'. Amat mendukacitakan.......





Untuk pimpinan Parti Islam, berusaha dan bermujahadahlah dalam mengembangkan kemurnian dan kesejahteraan Islam. Tidak lain hanya untuk mencari bekalan untuk bertemu Tuhan. Bumi sabah sarawak perlu disiram dengan keindahan Islam bagi memastikan keharmonian hidup masyarakatnya kelak. Insya Allah...

Comments (0)

Post a Comment