Bahagia: Keluarga Rasulullah SAW Model Terbaik

Category:



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”
(Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Penyakit Yang Membarah

Isu keretakan rumahtangga dengan kepelbagaian punca bukan lagi masalah baru dalam masyarakat Malaysia kini. Bahkan ia menjadi isu evergreen yang seolah-olah tidak menemui jalan penyelesaian. Kita dikejutkan dengan berita suami menikam isteri, menyimbah isteri dengan cuka getah dan mendera isteri dengan penderaan mental dan seksual. Si isteri pula ada juga yang membunuh suami sendiri, berlaku curang sehingga sanggup melayan nafsu lelaki lain. Lain pula kisahnya dengan tindakan ibu bapa ke atas anak-anak. Anak-anak ada yang dilacurkan, dirogol, didera dan ditinggalkan di merata tempat dengan harapan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dating dan mengambil mereka. Inilah penyakit dalam sistem keluarga di Malaysia yang semakin parah dan membarah. Pelbagai langkah diambil untuk mencegah dan menghukum kezaliman yang berlaku. Bermula dari badan kehakiman, institusi kerajaan dan bukan kerajaan, badan-badan politik, pusat-pusat pendidikan hingga ke Jawatankuasa Kerja Kampung. Namun permasalahan ini semakin menjadi-jadi bahkan lebih teruk lagi.Kenapa ia berlaku?

Model Keluarga Bahagia

Pelbagai jawapan yang diberi akan membawa kita memahami bahawa semuanya berpunca daripada diri individu itu sendiri. Ia mengukur sejauhmana kesedaran seseorang dalam memainkan peranannya dalam sebuah keluarga sama ada sebagai ayah, ibu atau anak-anak. Justeru, saya berpendapat peranan yang ingin dimainkan ini perlu berpandu kepada syariat Islam itu sendiri. Keluarga Rasulullah SAW adalah model keluarga bahagia yang terbaik untuk dicontohi. Ia bermula dari Rasulullah SAW sendiri yang berperanan sebagai suami yang bertanggungjawab, memahami, menyenangkan isteri, penyayang dan sangat prihatin kepada keadaan keluarga. 

Ditambah pula dengan kesetiaan, kesabaran dan kecekalan hati Saidatina Khadijah RA, Saidatina Aisyah dan para isteri baginda yang lain dalam mengurus tadbir rumahtangga demi memastikan keluarga yang dibentuk membawa kebahagiaan. Anak-anak seperti Saidatina Fatimah RA pula memainkan peranan dengan baik dengan berakhlak mulia, taat kepada ibu bapa dan sentiasa mengingati bahawa redha Allah terletak di atas redha ibu bapa. Jika wujudnya permasalahan di dalam keluarga, kata sepakat di antara suami isteri dicapai dengan penuh tasamuh (toleransi ) dan hikmah (bijaksana). Bahkan terlebih dahulu dirujuk kepada perintah-perintah Allah SWT.
Kombinasi fungsi yang ideal yang dimainkan oleh Rasulullah SAW dan ahlul bait lainnya ini akhirnya membawa kepada satu bentuk kebahagiaan yang hakiki. Bukan sahaja kepada keluarga baginda, bahkan kepada jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Kesemuanya terdorong untuk mencontohi Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah mahupun Saidatina Fatimah RA.
Akhlak Mahmudah sebagai Jaminan 

Lantaran itu, saya menyeru kepada semua pihak agar belajar dan mencontohi peribadi Rasulullah SAW dan ahlul bait dalam berakhlak kepada keluarga. Akhlak mahmudah sebegini pasti akan menjamin kehidupan yang lebih bahagia, tenteram dan penuh barakah. Ianya tidak lain adalah kerana berakhlak mulia kepada ahli keluarga merupakan satu kewajipan yang dituntut oleh Islam demi menyelamatkan kesemua ahli keluarga daripada api neraka.

Wahai orang-orang Yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka. Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”(At-Tahriim:6)

Comment (1)

nice blog..
"..Jangan biarkan diri kita hidup sendiri.. Nanti hidup kita umpama tidak berkemudi.. Carilah insan yg dapat membimbing hati.. Agar hati terjaga hingga kita bertemu ilahi.. Hati itu kunci diri.. Sempurna ia sempurnalah diri.. Rosaklah ia binasalah diri.. Hanya Iman dan taqwa pencuci hati.. Agar diri sentiase bercahaya ketika menemui ilahi.. Hati adalah seketul daging dalam diri.. Terciptanya rapuh akan nafsu duniawi.. Kuatkn lah ia dgn mengingati ilahi.. Sinarilah ia dgn tangisan taubat terhadap ilahi.. Lembutkan lah ia dgn membaca al-Quranul karim.. Agar ia sentiasa teguh dan tetap di jalan ilahi... "
sekadar renungan..
hehehe..

Post a Comment