MUJAHADAH SEORANG MUSAFIR

Category:

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Segala puji bagi Allah s.w.t Tuhan semesta alam,selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, kaum keluarga dan para sahabat baginda.
“Semalam yang berlalu dan kamu tidak mempunyai apa-apa darinya,esok yang dinanti masih menjadi tanda tanya sama ada engkau dapat melewatinya ataupun tidak,dan hari ini yang sedang kamu hadapi maka gunakanlah kesempatan ini sebaik-baiknya”
Manusia sering alpa,lalai dan suka bertangguh dalam melakukan sesuatu dengan alasan esok masih ada.Namun,apakah yang dapat menjamin kita bertemu hari esok yang belum pasti menjelma? Setiap insan meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa kematian pasti akan menemui kita walaupun berbeza warna kulit dan pegangan agama.Persoalan di sini adalah,apakah kita telah bersedia untuk menempuh saat kematian yang amat menakutkan itu?Apakah bekalan amalan yang kita cari sehingga hari ini,cukup untuk memastikan tempat kita di syurgaNya?

Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Marilah kita merenung sejenak firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran :
إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ ﴿١٥﴾ آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَ‌ٰلِكَ مُحْسِنِينَ ﴿١٦﴾
كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ ﴿١٧﴾ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ ﴿١٨﴾
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ditempatkan di dalam beberapa taman-taman syurga dengan mata air terpancar padanya. ( keadaan mereka di sana ) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja dari waktu malam untuk mereka tidur, dan pada waktu akhir malam ( sebelum fajar ) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah ( memohon ampun ).
( al-Zariyat 15-18 )
Di dalam ayat al-Quran di atas,Allah s.w.t menceritakan kepada kita bahawa tempat bagi orang yang bertaqwa adalah di dalam syurgaNya yang penuh nikmat.Kemudian,Allah s.w.t menyifatkan orang yang bertaqwa tersebut sebagai orang yang menghidupkan malam mereka untuk beristighfar dan beribadat kepadaNya.Adakah kita termasuk dari kalangan mereka yang disebut oleh Allah s.w.t di dalam firmanNya yang maha benar ini wahai sahabat-sahabatku sekalian? Sama-samalah kita muhasabah diri kita kembali.

KEHIDUPAN PARA SAHABAT NABI DAN ULAMA TERDAHULU

Sejarah telah mencatatkan bahawa Rasulullah s.a.w,ahli keluarga serta para sahabat baginda adalah mereka yang amat terkenal dalam kawarakan,zuhud dan ketaqwaan mereka kepada Allah s.w.t.Begitu juga halnya dengan ulama-ulama dan salafussaolih selepasnya.Mereka mengambil kehidupan dunia hanya sekadar keperluan sahaja.Prioriti dan fokus utama mereka adalah kehidupan akhirat yang kekal abadi.buktinya,mereka amat tekun melaksanakan ibadat malam setiap hari tanpa jemu.Sebagaimana Abdullah menceritakan perihal bapanya,imam Ahmad bin Hanbal r.a katanya:
“Bapaku membaca setiap malam sebanyak tujuh juzuk dan beliau hanya tidur sekejap selepas solat Isyak.Kemudian, beliau akan bangun hingga ke pagi untuk mengerjakan solat tahujjud dan berdoa.”-Rujuk KItab al-Ihya’,jilid 1, ms.340.
Imam Abu Hanifah pula pernah menghidupkan sebahagian malam.Pada suatu hari,beliau melintasi satu kaum dan mereka mengatakan bahawa lelaki ini (dari kaum tersebut) menghidupkan seluruh malam.Beliau berkata: Aku berasa malu dengan gambaran yang tidak aku lakukan lalu selepas itu beliau menghidupkan seluruh malam dan diriwayatkan beliau tidak mempunyai katil.-Rujuk Kitab al-Ihya’,jild 1, ms.420.
Abu al-Juwairiyah berkata:
“Aku telah bersahabat dengan Abu Hanifah selama enam bulan dan sepanjang tempoh itu aku tidak pernah melihat beliau membaringkan badannya di atas lantai."-Rujuk KItab ‘Uqud al-Lu’lu wal Marjaan, ms 225.
Manakala rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah meninggalkan qiammullail samada ketika bermukim atau ketika bermusafir,walaupun Allah s.w.t telah menjanjikannya syurga.Inilah tanda syukur dan taat seorang hamba kepada tuhanNya.Qiammullail merupakan anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang soleh.Mereka sengaja dipermudahkan untuk berqiammullail dengan bantuan Allah.
Abu Sufyan al-Daarini berkata:
“Sesiapa yang bersih hatinya pasti akan dibersihkan baginya dan sesiapa yang merasa susah maka akan disusahkan ke atasnya.Sesiapa yang berbuat baik di sebelah malam maka akan dipermudahkan baginya di siang hari dan sesiapa yang berbuat baik di siang hari pasti akan dimudahkan baginya di malam hari.”-Rujuk kitab Soid al-Khotir, ms.34.
BERUSAHA MENCAPAI KEDUDUKAN YANG TINGGI

Sahabatku sekalian,
Di manakah kedudukan kita berbanding mereka? Janganlah kita mendabik dada dan merasa cukup dengan ibadat yang telah kita lakukan.Ayuh kita berusaha ke arah yang lebih baik.Justeru,suka untuk saya berkongsi beberapa tips untuk membantu kita untuk berqiammullail,antaranya :
1. Jangan terlalu banyak makan kerana ia akan menyebabkan banyak minum lalu mengantuk menguasai diri.
2. Tidur seketika di siang hari mampu membantu kita untuk berjaga di malam hari.
3. Menjaga hati dan perasaan dengki terhadap orang-orang Islam,meninggalkan bid’ah dan khurafat atau asyik memikirkan keduniaan semata-mata kerana penyakit-penyakit ini menghalang dari melakukan ketaatan kepada Allah.
4. Hindari diri dari melakukan dosa-dosa besar kerana yang demikian akan mengeraskan hati lalu menjadi penghalang untuk mendapat rahmatNya.
5. Berfikir tentang keadaan di alam kubur,hari kiamat serta seksaan api neraka.
6. Sentiasa bercita-cita untuk mendapatkan syurgaNya dan sertakan dengan usaha dan keazaman yang tinggi.

KESIMPULAN

Baginda Rasulullah s.a.w amat prihatin terhadap qiammullail sedangkan baginda adalah penghulu seluruh Bani Adam.Namun,baginda masih mengerjakan qiammullail hingga bengkak kedua-dua belah kakinya.Aisyah r.a berkata kepada baginda : Bukankah Allah telah mengampuni segala dosa-dosamu? Jawab baginda s.a.w :
أفلا أن أكون عبدا شكورا
Maksudnya : “Tidakkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur?”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Marilah kita melaksanakan ibadat yang kian ditinggalkan ini memandangkan kebaikannya yang amat besar.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Pada suatu malam terdapat suatu waktu yang mana apabila seorang hamba memohon kepada Allah sebarang kebaikan lalu menepati waktu itu,Allah pasti akan memperkenankannya.”
Ia merupakan sebahagian daripada kebaikan dan kemuliaan Allah.Umar din Dzar sentiasa member peringatan tentang masa-masa dan malam-malam tersebut katanya:
“Berusahalah untuk diri kamu sendiri mudah-mudahan Allah akan merahmati kamu dalam kegelapan malam ini. Sesungguhnya orang yang bersiap sedia adalah orang yang bersedia untuk mendapat kebaikan malam dan siang. Manakala orang yang rugi pula ialah orang yang diharamkan dari mendapat kebaikan pada kedua-duanya. Sesungguhnya malam dan siang itu dijadikan oleh orang-orang mukmin sebagai jalan untuk melakukan ketaatan kepada Allah.”
Tetapi ia menjadi suatu kesukaran bagi segolongan yang lain kerana lalai.Mereka itu hanya memikirkan kepentingan diri sendiri.Justeru, hidupkanlah malam dengan mengingati Allah kerana jiwa-jiwa itu menjadi hidup dengan berzikir kepada Allah.Ingatlah bahawa kita adalah musafir yang hanya singgah sebentar di dunia untuk mencari bekalan bagi meneruskan perjalanan kita menuju negeri akhirat yang kekal abadi.
Rijal Al-Da’wah



P/S : Artikel ni sumbangan salah sorg sahabat. Moga Allah mengukuhkan kakinya di jalan dakwah. ( NUWAIRAH )

Comments (0)

Post a Comment