Bas Khas Wanita Wajar Diteruskan

Category:

Orientasi baru perkhidmatan bas yang diperkenalkan oleh Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) merupakan satu anjakan paradigma dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan wanita yang semakin membimbangkan kini.Meskipun ianya baru di tahap percubaan, saya begitu optimis bahawa perkhidmatan bas khas untuk wanita yang dilancarkan 1 Disember lalu akan diteruskan lantaran ianya bersifat praktikal bagi mengurangkan dan mencegah gangguan seksual terhadap wanita.

Walaupun pasti akan ada kekurangan yang perlu sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa, saya percaya RapidKL akan berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggannya. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Di peringkat mahasiswi, langkah pencegahan kepada perkara buruk terhadap wanita yang praktikal sebegini yang kita tunggu-tunggu. Tidak kira ia datang atau dijalankan oleh pihak kerajaan sendiri mahupun bukan kerajaan, perubahan perlu dilakukan demi meningkatkan kualiti produktiviti rakyat. Operasi perkhidmatan bas khas untuk wanita dilihat mampu menjadi pemangkin ke arah peningkatan produktiviti ini, atas dasar gangguan seksual terhadap wanita dapat diminimakan.

Meskipun begitu, saya berpendapat usaha sebegini boleh diluaskan dan dimaksimakan lagi. Misalnya dengan cara membahagikan dan menetapkan zon khas untuk lelaki dan wanita di dalam bas di samping tetap menyediakan bas khas wanita. Dalam waktu-waktu puncak terutamanya, semua penumpang pasti tidak sabar untuk menggunakan perkhidmatan bas apatah lagi masing-masing perlu melaksanakan pekerjaan dan tanggungjawab tersendiri.

Kebarangkalian penumpang lelaki untuk menaiki bas khas wanita pasti tiada. Justeru ia sedikit sebanyak akan membawa kesulitan kepada mereka, lantaran terpaksa menunggu bas lain walaupun tempat yang dituju adalah sama. Dalam keadaan seperti ini, jika terdapat bas yang mengasingkan zon penumpang lelaki dan wanita, ia bukan sahaja boleh memberi ruang kepada penumpang lelaki dan wanita menaikinya, tetapi dalam masa yang sama boleh meneruskan usaha mencegah gangguan seksual pada wanita.

Walaubagaimanapun, pemantauan berterusan terhadap pematuhan ketetapan yang telah dilaksanakan ini perlu sentiasa dilakukan. Bahkan jika RapidKL memberi penerangan dan makluman sewajarnya mengenai perubahan yang dilakukan ini kepada seluruh pengguna, ia pasti akan memberi manfaat yang besar bukan sahaja kepada pengguna, bahkan kepada RapidKL sendiri.

Kita seharusnya mengambil kira soal keadaan pengguna yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mungkin sahaja tidak memahami peraturan yang telah ditetapkan ini. Seluruh rakyat Malaysia sewajarnya memberikan sokongan padu untuk menjayakan usaha ini dan pastinya ia akan membawa negara ke arah suasana sosial yang lebih kondusif.

Comments (0)

Post a Comment