Menguntum Kasih Memadu Sayang

0

Category:


Dalam kesibukan sebagai mahasiswa dan abna' harakah, sedikit masa terpaksa 'dicuri' untuk ke Selayang. Bersama keluarga besar MARSIS Training & Services, kami menuju ke Madrasah Tahfiz Hashimiyah. Sekalipun benar kisah madrasah ini pernah tersiar di akhbar dan TV, saya akui ini pertama kali aku mendengar atau melihatnya. Kami disambut oleh adik Haron, salah seorang pelajar Maahad Tahfiz Hashimiyah. Alhamdulillah, Haron boleh berbahasa Melayu. Bimbang juga, kerana kami difahamkan ada antara adik-adik ini tak boleh berbahasa Melayu, hanya bahasa Myanmar.

Menjejak kaki di madrasah ini, hati terkesima seketika. Apa tidaknya, rumah kedai yang dijadikan madrasah tersebut cukup2 memuatkan berpuluh anak-anak yatim dan tak berkemampuan yang berasal dari negara Myanmar. Makanan dan hadiah yang kami bawa mereka punggah beramai-ramai. Dek kerana laluan tangga yang agak sempit, muslimat hanya menunggu di bawah. Tidak sabar rasanya melihat dan memasuki dunia mereka.

Naik ke tingkat 1, adik-adik menyambut kami, dengan senyum dan salam. Bila ditanya 'Apa khabar?', ada yang menjawab 'baik', tapi ada yang hanya tersenyum. Mungkin juga mereka masih tak memahami bahasa Melayu. Tidak mengapa, kerana yang pasti mereka gembira. Agaknya kerana sudah lama menanti kami, yang lewat setengah jam. Maaf buat semua, ia masalah teknikal yang tak dapat dielakkan. Akan kami gantikan ia dengan pengalaman yang takkan dapat dilupakan. Insya Allah...

Saya menjadi MC 'bidan terjun' untuk hari tersebut. Memikirkan ia bukanlah majlis yang perlukan pengendalian formal, saya menerima permintaan Tuan Pengarah, Saudara Azri. Maka dengan berbekal sedikit ilmu mengenai kanak-kanak, saya meyakinkan diri menapak ke hadapan untuk memulakan program. Susah jugak 'berurusan' dengan kanak-kanak yang ramai. Mungkin mereka teruja berjumpa dengan kami, kerana kami juga turut teruja bertemu mereka. Dengan usaha yang secukup baik, saya cuba membuatkan mereka dan rombongan yang hadir untuk faham beberapa perkara. Apa itu asma al-husna, siapa ketua mereka dan apa perlu kami ke sana. Saya yakin adik-adik kurang memahami, itu tak penting. Yang pasti saya mahu semua yang bersama rombongan MARSIS memasak di dalam minda, bahawa ia medan meningkatkan iman, juga taqwa.

Kami makan tengah hari bersama, zohor berjemaah dan bermain bersama. Seronoknya melayan mereka. Memandangkan ini program kedua saya bersama sejumlah kanak-kanak yang ramai ( pertama semasa di SMAKK dulu ), saya agak kepenatan. Bermain dengan kata-kata, dan emosi. Gabungan dua usaha ini membuat saya meluah kepada 2 sahabat MARSIS yang baru saya kenali, "program ni macam mengalahkan program 3 hari 2 malam.." Mereka tersenyum dan mengangguk... Kami ke tingkat 2 yang merupakan tempat tidur dan persalinan adik-adik lelaki. Ruang yang sederhana besar itu kami gunakan sepenuhnya untuk bermain bersama adik-adik, dengan harapan mereka boleh merasai masih ada 'kakak' yang mahu berkongsi rasa bersama mereka. 5 orang adik-adik ditambah 3 orang kakak fasi bagi setiap kumpulan menjadikan ruang itu gamat. Saya dan 2 sahabat fasi diuji Allah, adik-adik kumpulan kami semuanya berumur 3 atau 4 tahun, semua tak tahu berbahasa Melayu. Allah! Berat jugak ni. Alhamdulillah, dalam kekalutan Salmah(unit pengisian) membawa masuk seorang adik yang berumur 9 tahun ( namanya Sumaiyah ) dan boleh berbahasa Melayu ke kumpulan kami. Syukur... Tapi tetap ada cabarannya, dia menangis pulak. Saya dipertanggungjawabkan untuk memujuknya. Alhamdulillah, dia berhenti menangis. Lega rasanya...

Permainan pertama pun bermula, mencipta baju robot untuk kakak fasi. Syaratnya- hanya adik-adik yang boleh menyelesaikan tugasan ini. Kami pun menyerahkan surat khabar lama kepada Sumaiyah. Dia hanya diam memerhati kertas-kertas yang ada. Kurang faham dengan arahan agaknya. Saya terus mencapai sehelai kertas dan menjadikannya baju untuk dipakai oleh 'robot' kumpulan kami. Saya katakan pada Sumaiyah, macamana nak buat topi pulak. Dia tersenyum, baru memahami tugasan yang perlu kami selesaikan sebenarnya. Alhamdulillah... Dia dan 4 orang adik kecil yang lain mengoyak kertas-kertas yang ada. Mereka mula teruja dengan hasil kerja mereka bilamana melihat robot di kumpulan sebelah lebih cantik. Habis si robot dilekat di sana sini. Dalam kesibukan kami menyiapkan si robot, 2 orang adik kecil yang lain ( Habibah & Umairah ) mula beralih arah. Mengumpul buku-buku yang ada dan mula mewarna. Khusyuk sungguh mereka sampai dipanggil pun tak menoleh. Biarkan saja lah, yang penting mereka masih di sana. Sementara kakak fasi lain menyiapkan robot tersebut, saya duduk di hadapan Habibah dan Umairah. Memerhati dan mengawasi mereka, kerana baru sahaja mereka berebutkan buku yang ada.

"Cikgu, cikgu", Habibah memanggil saya sambil menunjukkan gambar-gambar binatang yang ada. Saya sebut satu-satu nama binatang tersebut, dan dengan perlahan dia mengikutnya. Saya sedar, dia adik kecil yang perlukan ilmu dan bimbingan. Amat perlu dia faham dan tahu berbahasa Melayu, apatah lagi dia seorang perempuan. Ia akan berkait soal pendidikan, taraf hidup, kewangan bahkan keselamatan dirinya kelak. Saya cuba membuatnya faham dengan apa yang saya katakan, tapi dia hanya tersenyum, indah! Tak mengapa adikku, kelak kau akan mengerti. Setelah habis permainan robot, kami beralih ke beberapa permainan yang lain. Adik-adik bergelak tawa, kelihatan sangat gembira. Alhamdulillah. Kemuncak permainan kami, kami berzikir beramai-ramai. Membawa adik-adik kembali kepada fitrah mengagung Yang Maha Esa. Biar kami sedar, kegembiraan dan kebahagiaan itu sepatutnya dipulang kepada Nya. Dikembalikan setiap rasa syukur kepada Nya, agar kami tidak alpa bahawa sesungguhnya itu semua sementara. Muslimin di dan adik-adik di tingkat bawah juga begitu. Tuan Presiden mengetuai alunan zikir. Terselinap sayu di hati. Dengan doa dan harapan, semoga adik-adik ini dipilih oleh Allah untuk sebaris dengan tentera yang memperjuangkan kalimat Allah kelak.

Terdengar lagi bacaan lunak dan menusuk hati adik muslimin ( tak ingat nama ) yang membuat persembahan. Dia membaca beberapa potong ayat Al-Quran, dengan lancar cukup dengan kamilnya tajwid. Alhamdulillah, ini lubuk permata agama rupanya. Lantas saya bacakan satu ayat Allah yang bermaksud " Sesungguhnya orang yang beriman ialah apabila disebut nama ALLAH, maka bergetarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat ALLAH , semakin bertambah keimanan mereka, dan kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal..." Semoga ia dijadikan bekalan menempuh kehidupan. Habis bermain di tingkat atas, kami turun semula ke bawah untuk menyambung majlis penutupan. Saya dipanggil sekali lagi, mengacara majlis biar terkawal. Melihat hamper makanan yang banyak, adik-adik semakin mendekati kami ( Azri, ust.Hendri dan saya sendiri ) yang pada ketika itu di hadapan mereka. Gamat jugak, pasti tidak ada yang ketinggalan mahu merasai dan menikmatinya. Apatah lagi, sememangnya kanak-kanak penggemar apa jua jenis makanan ringan. Alhamdulillah, ia selesai dibahagikan dengan adil. ( Insya Allah...). Kami kongsikan apa sahaja yang ada, termasuk sumbangan biskut raya oleh Abang Jabri ( salah seorang Alumni MARSIS ). Inilah namanya rezeki. Allah Maha Tahu, adik-adik ini berhak diberi kegembiraan.

Di akhir program, ia sudah seperti berjalan dengan 'natural'. Adik-adik mempersembahkan nyanyian mereka, tanpa dirancang. Kami juga bersama-sama membersihkan seadanya, cukup untuk menjadikan ruangan itu seperti sedia kala dek kerana masa yang terbatas. Azri menutup majlis, sedikit pesanan daripada abang-abang untuk mereka. Kemuncaknya, kami bersalaman. Tidak saya lepaskan genggaman adik-adik yang menyentuh hati saya. Peluk cium tanda perpisahan yang mudah-mudahan hanya sementara. Betapa kecilnya mereka untuk mengerti, tapi saya yakin Allah campakkan juga rasa kasih itu pada hati mereka. Umairah tidak melepaskan tangan, sambil melilau mencari rakan-rakannya, mungkin. Tidak mengapa adikku, akan ada perjalanan yang telah Allah caturkan untukmu kelak.

Akhirnya mereka pergi meninggalkan madrasah, pulang ke rumah masing-masing. Sementara kami masih di sana untuk menyelesaikan solat asar. Baru kelihatan para fasi rombongan MARSIS bertukar-tukar nombor HP, biar mudah menganyam ukhwah yang telah dibina. Terima kasih buat semua sahabat-sahabat daripada UM, UIAM, UPSI, UMP, USIM, KUIS, UNIKL, dan semua yang tidak sempat saya sebutkan di sini. Semoga usaha yang kecil ini dijadikan mahar untuk bertemu dan melihat wajahNYA di akhirat kelak. Tahniah buat seluruh penggerak OPKIM MARSIS 2009, YOU ALL ARE APPRECIATED!
Takbir!!!

( Untuk gambar, saya akan upload kemudian, insya Allah. Tapi mana-mana sahabat yang tak sabar-sabar untuk melihat gambar, boleh ke facebook saudara Saipul( UNIKL ) atau Farhan ( UM ). )
Read More

JOM SERTAI FEMINA 09!!!!!!!!!!!!!!

0

Category:

JULUNG KALI DIADAKAN DI UM!

MENGUMPULKAN MAHASISWI DARI SELURUH NEGARA!



PENUH DENGAN AKTIVITI YANG MENARIK!

BERTEMU DENGAN IKON AKADEMIK YANG MEMBANGGAKAN!

PELUANG MEMBINA DIRI MENJADI WANITA UNGGUL!


MAMPU BERIMAGINASI UNTUK MASA DEPAN!

JUGA MENGUTIP SUARA ANDA UNTUK MEMBANGUNKAN WANITA!


DI SINILAH TITIK MULANYA............




FESTIVAL MAHASISWI UNIVERSITI MALAYA 2009
' FEMINA 09 '



PELBAGAI AKTIVITI MENARIK UNTUK ANDA:


KEMPEN & PAMERAN
( 12.10.09 HINGGA 17.10.09, KOMPLEKS PERDANA SISWA UM )


DEMONSTRASI SEBATAN SYARIAH & PELANCARAN KELAB SAHABAT KARTIKA
( 15.10.09, KOMPLEKS PERDANA SISWA UM )


FORUM: WHAT WOMEN NEED IN LIFE.
PANEL- RAS ADIBA RADZI , PUAN MASTURA MOHAMMAD & PUAN JASMIN BABA
( 16.10.09, AUDITORIUM KOMPLEKS PERDANA SISWA UM )


FORUM: WOMEN AND REALITY OF MALAYSIA.
PANEL- PROF MADYA DR.MARIANI MD.NOR, ENCIK KAMAL AFFENDI HASHIM & PUAN NORLINA ALAWI
( 17.10.09, AUDITORIUM KOMPLEKS PERDANA SISWA UM )


TALK: WOMEN PRODUCING GREAT GENERATION.
SPEAKER- DATUK DR.ZAININAH MOHD ZAIN
( 17.10.09, AUDITORIUM KOMPLEKS PERDANA SISWA UM )


TALK: WHAT MEN SHOULD KNOW, WHAT WOMEN DON'T KNOW.
SPEAKER- ENCIK HUSIN YEE
( 17.10.09, AUDITORIUM KOMPLEKS PERDANA SISWA UM )


TAYANGAN FILEM : PROVOKED
( 17.10.09, AUDITORIUM KOMPLEKS PERDANA SISWA UM )



PERASMIAN PENUTUP OLEH MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KEBAJIKAN & MASYARAKAT
YB SENATOR DATO' SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
( 18.10.09, BALAI UNGKU AZIZ FAKULTI PERGIGIAN )


SERTAI KAMI SEGERA!!! UNTUK PENDAFTARAN, SILA HUBUNGI : 0133034364 (SYIKIN)

MAKANAN, TEMPAT PENGINAPAN, SIJIL DAN CENDERAHATI FEMINA 09' DISEDIAKAN



Read More

Konsep Hormat Ramadhan; suatu yang perlu direalitikan secara menyeluruh

0

Category:



Ketika banyak sekali hujah-hujah dan respon yang dikeluarkan ke atas kes Kartika Dewi Shukarno, saya tertarik untuk memberi sedikit fokus kepada sebab awal yang menjadi penghalang hukuman ke atasnya diteruskan – kerana menghormati bulan Ramadhan. Saya cukup optimis memandang isu ‘menghormati’ bulan Ramadhan merupakan satu usaha yang sangat baik kerana dengan adanya ‘hormat’ ini akan membawa kita kepada satu tahap lagi iaitu ‘perolehan barakah’. Tetapi apa yang menjadi persoalan ialah sejauh mana usaha ini diperluaskan dan direalitikan secara menyeluruh? Adakah wajar kita menganggap hanya beberapa perkara sahaja yang perlu diberhentikan atau ditangguhkan atas alasan menghormati bulan yang mulia ini? Sudah tentu jawapannya tidak! Justeru ada beberapa perkara yang ingin saya usulkan kepada pihak berkuasa jika mereka benar-benar ingin merealisasikan konsep ‘ Hormat Ramadhan ‘:

1- Menyeru rakyat melaksanakan solat sunat terawih
Solat terawih yang disunatkan ke atas semua umat Islam hanya dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan sahaja. Saya cukup faham bahawa solat ini hanya sebuah tuntutan dan bukannya kewajipan. Akan tetapi, jika benar pihak berkuasa ingin mendidik rakyat agar menghormati Ramadhan, maka adalah wajar mereka menyeru rakyat secara besar-besaran untuk melaksanakan solat sunat terawih agar memperoleh keberkatan daripadanya.

2- Menutup pusat-pusat hiburan ( kelab malam / pub ) di sepanjang Ramadhan.
Realitinya di Malaysia, sepanjang tahun pusat-pusat hiburan tidak pernah ditutup, bahkan siapa pun bebas memasukinya tanpa halangan. Justeru tidak menjadi suatu yang mustahil jika pusat-pusat hiburan ditutup hanya pada bulan Ramadhan kerana menghormatinya. Apatah lagi majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam. Saya juga yakin dan percaya rakyat yang bukan Muslim juga akan memahami bahawa perkara ini adalah tuntutan dalam agama Islam.

3- Perintah menutup aurat & berpakaian sopan di dalam semua program televisyen semasa.
Seperti sedia maklum, antara program televisyen yang disiarkan secara harian ialah berita TV dan program berbentuk ‘talk-show’. Justeru bagi menghormati bulan Ramadhan yang mulia, pihak berkuasa seharusnya mengeluarkan perintah agar semua pembaca berita dan pengacara rancangan-rancangan ‘talk-show’ menutup aurat ( bagi yang Muslim ) dan berpakaian sopan
( bagi yang bukan Islam ). Jika perintah ini benar-benar direalitikan, saya yakin rakyat yang menonton mereka juga pasti lebih terhibur dek kerana kemanisan & keayuan mereka yang lebih terserlah dengan berpakaian sopan. Bahkan bonusnya, perolehan barakah di bulan ramadhan.

Jika hanya untung rugi yang dipertimbangkan dalam konsep ‘Hormat Ramadhan’, maka menjadi suatu yang tidak wajar hukuman ke atas Kartika ditangguhkan. Beliau sendiri turut meminta hukuman tersebut diteruskan atas alasan wujudnya kesedaran dalam diri beliau ingin memperbaiki ( islah ) diri dan memberi pengajaran kepada orang lain. Bukankah suatu yang menguntungkan jika ada rakyat Malaysia yang sedar dan mahu menuju ke arah yang lebih baik? Justeru saya menyeru kepada pihak berkuasa agar mereka menggunapakai konsep ‘hormat Ramadhan’ di tempat yang wajar dalam keadaan yang rasional, bukan hanya bagi kepentingan tertentu. Rakyat Malaysia- bersatu atas nama kebaikan. Salam Kemerdekaan.
Read More

KONSIS 09' hadir bersama RAMADHAN 1430h

0

Category:



Salam Ramadhan buat semua. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Masih lagi Allah Yang Maha Pengasih memberi peluang mengecap peluang menghadirkan diri dalam Madrasah Tarbiyah- Ramadhan Yang Mulia. Terkenang detik hati dalam Ramadhan lepas, "Adakah aku masih bernyawa dalam Ramadhan akan datang? Berpeluang menghirup kenikmatan tarbiyahnya, mengecap kebahagiaan dekat denganNya juga merasa cahaya rahmatNya.." Alhamdulillah, masih lagi peluang itu datang walau diri tidak yakin adakah ia akan kekal hingga ke hujung Ramadhan. Terima kasih ya Tuhan, dalam kehinaan diri dan kekotoran hati, KAU tidak terus meninggalkanku lalai dengan kebodohanku yang tunduk pada hawa nafsu. KAU beriku jalan untuk ku kembali menyucikan diri, melunakkan hati.
لا حول ولا قوة إلا بالله.

Kegembiraan menyambut hadirnya Ramadhan semakin bertambah dengan adanya Konvensyen MARSIS ( KONSIS 09 ). Betapa bertuahnya anak-anak Borneo kerana dipilih oleh Allah untuk memberi komitmen di dalam KONSIS 09 diiringi dengan Ramadhan. Kalau diikutkan, tarikh awal KONSIS 09 bukanlah bertepatan dengan kehadiran Ramadhan, tetapi seminggu lebih awal. Cuma akibat kekangan masa dan masalah-masalah tertentu, ia akhirnya ditangguhkan ke 21 Ogos. Perasmian KONSIS 09 yang diadakan selepas solat terawih berjemaah seolah-olah juga menjadi perasmian kepada bermulanya tranformasi ibadah untuk Ramadhan. Jika sebelum ini jarang sekali solat sunat rawatib, maka Ramadhan kali ini titik mulanya. Jika sebelum ini susah sekali bangun solat malam, maka Ramadhan kali ini menjadi pengubahnya. Begitulah juga pertemuan-pertemuan lain bersama Allah, biar Ramadhan kali ini menjadi saksi kebulatan tekad kita untuk memaksimakannya.

Sahur bersama-sama juga antara detik manis di dalam KONSIS 09'. Dalam meeting AJK, pelbagai assumption dibuat- orang jarang makan nasi untuk bersahur, ada yang suka makan mee untuk bersahur, ada yang minum air saja untuk bersahur, macam-macamlah. Kesian juga kak azrinah selaku AJK Makanan untuk decide menu bersahur. Tapi setelah dipertimbangkan, akhirnya menu yang dipilih tetap nasi. Dan diri ini pun bersyukur yang teramat sebab lebih memilih nasi untuk dijadikan juadah bersahur. Tetapi lain pulak dengan Presiden MARSIS- yang penting mesti ada teh panas! Kalau AJK tak mau sediakan air teh, beli serbuk teh pun boleh, nanti muslimin buat sendiri. Saya pun menggeleng... Mula lah saya memberi tazkirah ringkas. Sebenarnya amalan meminum teh ketika bersahur perlu dielakkan. Melalui pembacaan yang minima, teh dan kopi yang mempunyai kafein yang banyak akan menyebabkan asid hidroklorik berlebihan dalam badan ketika proses ransangan kafein ke atas tubuh kita. Jika ini terjadi, kita akan akan mengalami gastrik atau dalam bahasa perubatan disebut sebagai gastritis.Selain itu minuman berkafein seperti teh akan menyekat penyerapan nutrien di samping meningkatkan kehilangan cecair badan. Kalau mau jugak, minum lebih awal seperti selepas terawih ( ketika moreh ). Lalu Presiden pun menyambung, " Tak apa.Ana sudah biasa...". Hmm...ikutlah ustaz...Yang penting, ana sudah bagitau awal...

Dalam keterbatasan yang ada, para AJK membulatkan tekad untuk meneruskan sahaja KONSIS 09'.Tidak perlu ditangguh lagi. Maka dalam keadaan banyak kekurangan, KONSIS 09' tetap dijalankan. Walaupun jumlah peserta pada majlis perasmian belum mencapai target, ia tidak mematahkan semangat Unit Peserta untuk terus-terusan follow-up. Alhamdulillah, ramai yang masih dalam perjalanan menuju ke tapak program. Good job Tini and Salmah! Alhamdulillah, bermula pendaftaran pada petang Jumaat sehingga malam terakhir hari Sabtu, ada sahaja peserta yang sampai untuk mengikuti KONSIS 09'. Kami pihak AJK sentiasa mengalu-alukan kehadiran peserta walaupun yang datang hanya sempat mengikuti 1 slot sahaja. Itu semua tidak menjadi masalah, kerana yang penting adanya perolehan ilmu walaupun sedikit. Alhamdulillah dan terima kasih! Dengan tranformasi kepada beberapa pengisian yang diperingkat percubaan sebenarnya, KONSIS 09' mendapat pelbagai reaksi daripada peserta. Ada yang menyukainya, ada juga yang berpendapat ia kurang sesuai. Saya begitu faham bahawa pendapat ini terhasil akibat daripada latar belakang dan kondisi kampus yang berbeza. Walau apa pun, kami pihak MARSIS Pusat khususnya amat menghargai usulan-usulan sahabat semua dan insya Allah akan memperbaikinya lagi. Antara pengisian yang dijalankan ialah Dakwah Workshop by IIS ( Special thanks to Bro Endry, Bro Edwad and Bro Yusuf. You all are appreciated ), Creative Discussion ( Modul: Just Say It, Be a Crusader, Berita Kepala 3,dll ), Creative Film-maker ( yang ni disukai ramai ), Creative Game & Creative Planning. Dakwah Workshop yang dijalankan adalah meliputi tajuk-tajuk seperti Kewajipan Berdakwah, Christian Belief, Christian History, Christianity, I Am That I Am, Bible Study, Chinese Belief dan Similarities Islam & Christian. Semoga aktiviti-aktiviti ini menjadi medan perolehan ilmu dan amalan baik buat semua.

Menutup tirai KONSIS 09', Presiden MARSIS menyampaikan beberapa pesanan dan tasyji' buat semua. Menambahkan kefahaman tentang pripentingnya bekerja demi Islam akan membuka lagi ruang yang luas kepada tsabatnya kita dalam perjuangan Islam. Menjadi seorang Muslim yang baik akan memastikan wujudnya masyarakat yang baik. Apatah lagi melihat realiti di negeri masing-masing, terlalu runcing masalah yang perlu difikirkan. Hanya Allah yang tahu apa yang terbit di hati para hadirin yang hadir dalam KONSIS 09'. Sama ada menganggap KONSIS 09' sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya, itu hak individu dan ia tetap akan kembali kepada Allah SWT. Tetapi saya secara peribadi begitu gembira dan berbangga bersama ahli keluarga besar MARSIS. Biarpun hanya beberapa orang sahaja yang boleh terus komited mendokong matlamat MARSIS, adik-beradik yang lain tetap memberi sokongan. Saya percaya mereka bukan sengaja untuk tidak menghadirkan diri, tetapi ia terjadi kerana keterbatasan masa dan tenaga. Tiada kata lain yang perlu saya ucapkan selain terima kasih buat semua yang menjayakan KONSIS 09'. Teruskan mentarbiyah diri di Madrasah Tarbiyah Ramadhan. Lets proud to be DAIE'! Takbir!!!!!

ZOOM IN!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Creative Discussion 1



Cepat cepat. Fikirkan jawapan!



Jawapan kami ialah ILMU...( Tapi apa soalannya???? )



Menjadi sebuah keluarga dalam Creative Film-maker



Menjadi pelakon harapan!



Penonton yang setia..



Thanx Bro!



Mengeratkan lagi silaturrahim...



Presiden MARSIS sedang mengingat wira-wiranya yang bercuti



MARSIS Training & Services...



Bro Yusuf sedang membentangkan Christian Belief



Bro Edwan sampaikan talk " Bible Study "



Adik beradik MARSIS yang komited

Read More

TERIMA KASIH PADA SEMUA

1

Category:



Salam terima kasih buat semua sahabat-sahabat yang mendoakan diri ini. Alhamdulillah demam panas yang menyapa beberapa hari lepas sudah hampir pulih sepenuhnya. Begitulah ujian yang Allah takdirkan buat hamba-Nya. Diberikan kegembiraan, namun demi memastikan hambaNya tidak terus alpa, maka dianugerahkan nikmat sakit agar beringat dan dekat denganNya. Alhamdulillah wa syukru lillah. Juga terima kasih buat doa-doa panjang umur yang dikirimkan melalui SMS atau e-mail sempena berkurangnya
jangka waktu untuk bertemu Allah. Semoga kalian juga turut beroleh perhatian dan rahmatNya. Paling istimewa, terima kasih buat adik tersayang Syaa dan Syima atas hadiah kalian berdua. Moga buku-buku tersebut turut memberi manfaat kepada kita semua.

Dari Syaa...





Dari Syima...

Read More

3 Ogos, perginya seorang MUJAHIDAH....

0

Category:



Sesungguhnya mengingati tarikh kelahiran seseorang adalah suatu kebiasaan yang telah menjadi amalan sejak bertahun lama. Entah siapa yang menjadi pencetusnya, namun apa yang pasti 'doktrin'nya untuk membuatkan orang ramai mengingati tarikh kelahiran telah berjaya. Tarikh ini dianggap penting sehinggakan dilupakan tarikh-tarikh yang sepatutnya dianggap penting selainnya. Tidak salah mengingati tarikh kelahiran, bahkan ia boleh dijadikan 'mahar' untuk mengukuhkan lagi sebuah persahabatan dan persaudaraan. Namun adakah ada di kalangan kita yang mengingati tarikh kematian? Untuk dikenang mungkin, tapi pastinya bukan untuk diraikan. Justeru hari ini 3 Ogos 2009 adalah tarikh pemergian seorang srikandi yang agung sepanjang zaman. Dialah 'abidah, dialah da'ieyah, dialah mujahidah, dialah amirah, dialah juga isteri, dialah ibu dan akhirnya Allah memberinya darjat yang Agung, dia telah menjadi seorang SYAHIDAH. Allahu Akbar! Selama usianya 88 tahun, ku pasti dia hidup dalam barakah dan ibadah. Apatah lagi setelah menginfakkan diri di jalan Allah, pasti dia lebih berbangga kerana umurnya tidak disiakan dengan murka Allah. Ketika remajanya, dia berjiwa seorang muslimah kental tak kenal lelah. Seawal remaja dia beriltizam mendokong harakah islamiyah. Biar diserah jiwa raga hanya pada Allah. Menjengah usia matang, dia dilamar untuk menjadi seorang isteri. Bukan kesempurnaan seorang suami yang dipinta, tapi dia menuntut faham seorang suami pada tugasnya sebagai abnaul harakah. Dengan lemah lembut dia meminta izin, untuk terus tsabat bersama jemaah, tanpa putus asa. Dan syukur pada Allah, betapa DIA telah menemukannya dengan seorang suami yang begitu mendorongnya. Kepada si isteri, tidak diminta layanan luar biasa, sekadar termampu sesuai dengan kesibukannya. Malah dijanjikan pada si isteri, keizinan seumur hidup untuk terus bekerja demi perjuangan Islam. Allahu Akbar. Hanya dengan kuasa Allah lah yang menjadikan hati si suami terbuka untuk seorang srikandi. Ketika berhadapan dengan kezaliman Jamal Al-Naseer, bukan sahaja kekuatan aqal yang diperlukan, bahkan lebih dari itu, kesediaan pada sebuah pengorbanan - jiwa, raga, harta dan keluarga. Tinggal satu sahaja yang tidak mungkin digadaikan iaitulah Aqidah Perjuangannya. Biar diseksa semacam mana sekalipun, dia takkan berundur. Berkata "YA" kepada taghut Laknatullah umpama memasukkan kaki ke dalam api jahanam. Lalu atas kedegilannya, dia dihukum. Dia menemui syahid yang dinantinya sekalian lama. Walau telah terhenti penyeksaan ke atasnya, tapi ruh perjuangannya akan terus meresap dalam jiwa muslimah muda. Yang menjadikannya ibu, semangat bahkan ingin sekali menjadi bayangannya. Hari ini genap 4 tahun Zainab Al-Ghazali pergi meninggalkan kita. Meskipun diri ini tidak diberi peluang untuk bertemunya di dunia, kata-katanya sudah sebati menjadi inspirasi. YA Allah, moga hari yang menjadi tarikh pemergiannya ini akan turut menjadi tarikh lahirnya seorang mujahidah yang juga mencintai syahid sepertinya, untuk meneruskan kesinambungan perjuangan. Dan pastinya ya Tuhan, ku mohon mujahidah itu adalah AKU.....

Read More

KE MANAKAH PERGI PERIKEMANUSIAAN?????

0

Category:


Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa.

Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari.

Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau.

Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya.

Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama.

Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur...

Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem.

Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Dipetik daripada blog merdekareview.


Apakah yang sedang anda fikirkan kini? Bayangkan anda adalah Suhaib! Atau bayangkan anda adalah ayahnya yang ditahan, atau ibunya yang hiba. Apakah perasaan anda?????
Read More

KONSERT ANTARA DUNIA 2009

0

Category:

JOM RAMAI-RAMAI KITA SAKSIKAN KONSERT ANTARA DUNIA. PASTI MENJANJIKAN KELAINAN!!!!!!!



BERSAMA ARTIS PILIHAN :

SHOUTUL HAROKAH



HIJJAZ



RAIHAN



RABBANI



NIBRAS



JANGAN LEPASKAN PELUANG UNTUK MERASAI GEGARANNYA!!!!!!!!!!!!!!!
Read More

ISTIMEWA BUAT SEMUA SAHABAT SEPERJUANGAN

1

Category:

Dedikasi istimewa buat semua sahabat seperjuangan, demi menegakkan kalimah Allah.Tabahkan hati dalam setiap ujian yang mendatang. Sesungguhnya kita sedang berjual beli dengan Allah, bergalang gantikan darah dan airmata. Dan keuntungannya kelak bakal kita rasai di syurga. Pahatkan di hatimu sahabat, matlamat kita menuju ke negeri abadi dalam kerinduan melihat wajahNYA Yang Maha Agung. Biar ruh perjuangan para tentera Muhammad SAW dan tentera Muhammad Al-Fatih meresap dan mendiam kukuh dalam segenap pembuluh darah. Moga ukhwah yang dibina menjadi titi ke syurga abadi...


" Pertemuan telah ditakdirkan
antara kita tidak pernah dirancangkan
manalah takdir hendak dilawan
semuanya ketentuan tuhan
wahai sahabat sematkan semua kenangan
yang telah bersama sama kita lalui
suka dan duka memburu impian
moga teguhnya ikatan ini
sahabat yang amat ku kasihi
susah senang kau disampingku
kehadiran dikau disisi
mengubat sepi dihatiku
wahai sahabat sematkan semua kenangan
yang telah bersama sama kita lalui
suka dan duka memburu impian
moga teguhnya ikatan ini
sahabat yang amat ku cintai
susah senag kau disampingku
walau kini hilang dimata
namun kau tetap dihatiku
ooo...sahabat bertuahnya ku rasa
mendapat teman sepetimu
membimbing menasihatiku
hanya satu dlm beribu
sahabat yang amatku cintai
susah senang kau disampingku
walau kini hilang dimata
namun kau tetap dihatiku
namun kini hanyalah tinggal kenangan
pertemuan kita dilamar perpisahan
kemesraan bermekar diakhir perkenalan
sayup menitiskan air mataku..."



Sahabat - Hawary
Read More

Siri 1- KEKUATAN &KEMEGAHAN HANYA MILIK ALLAH SEMATA!

0

Category:

Apabila memikirkan rumah 'Kembara Menuju Allah' yang semakin bersarang ni, ku kuatkan juga hati untuk menjenguknya walau seketika. Apatah lagi menerima 'notis amaran' dari seorang sahabat yang akan 'menyaman' blog ini kerana telah ditinggalkan dek masa yang suntuk. Sekembali dari menunaikan tanggungjawab di rumah bonda dan ayahnda, pastinya jadual agak padat dengan beberapa tugasan dan amanah di sini yang menunggu untuk diselesaikan. Keluarga MARSIS mula menjalankan gerak kerja untuk tugasan pertama- menyambut dan meraikan anak-anak Borneo yang kental jiwanya untuk mencari ilmu di bumi semenanjung ini. Alhamdulillah, beberapa perkara telah diselesaikan semasa di negeri. Cuma tinggal beberapa 'kerja-kerja teknikal' yang perlu dibereskan. 3 hari 2 malam berkampung di KLIA dan LCCT pasti tidak sia-sia. Walaupun ini bukanlah kali pertama menyertai sambutan seperti ini, namun kali ini tetap ada beza dan keistimewaannya. Terima kasih pada sahabat-sahabat PERMASA yang tegar bersengkang mata demi memastikan adik-adik baru yang datang dapat dibantu. Kehadiran mereka yang 4 orang cuma sangat-sangat membantu bagi melancarkan lagi gerak kerja ini. Aku begitu yakin dan percaya, 40 orang yang jiwanya tidak terbit ikhlas untuk membantu atas nama Allah belum tentu dapat menandingi kesabaran mereka ber4 menunggu adik-adik.La haula wala quwwata illa billah..Tapi malangnya, ada juga pengalaman yang menjengkelkan. Berhadapan dengan beberapa orang yang begitu sinis dan pesimis terhadap MARSIS dan PERMASA.Bukan marah atau bengang dengan sikap mereka, cuma agak kecewa bilamana berjumpa dengan manusia yang tak tau dan tiada info langsung, tapi menuduh dan melabel membuta tuli. Pelik tapi ini yang terjadi. Sehinggakan ada seorang sahabat berpesan- 'jangan lupa bawa fail syarikat sekali.biar tergamam diorang tengok kita memang ada lesen'. Lucu jugak mendengarnya, tapi itu jugak boleh menjadi penyelesaiannya bagi menutup mulut-mulut mereka. Dengan bijak dan hikmah, adik beradik MARSIS menerangkan dengan hati-hati dan teliti kepada mereka.Ditambah dengan senyuman dan keyakinan, mereka menutup mulut dan berlalu. Alhamdulillah, mereka bukanlah musuh yang boleh mengancam. Tetap ada kegusaran di hati mereka sebenarnya tatkala melemparkan 'statement' kepada kami.Akhirnya, mereka terpaksa akur bahawa kami tidak termakan dengan kata-kata mereka. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Penat lelah berbaloi bilamana antara kami dan adik-adik sudah bole bergurau senda dan mencetus ukhwah. Tanggungjawab seterusnya ialah menyemainya lagi agar bisa tumbuh mekar. Tidak lain hanya demi Allah, demi Islam.

Balik ke 'mihrab Balqis', sudah ada tanggungjawab lain yang perlu diambil perhatian. Kes dua orang sahabat yang ditahan polis @ SB sangat meruntun hati. Ini pengalaman pertamaku berhadapan dengan situasi seperti ini. Tidak tergambar dengan kata-kata tatkala melihat kedua orang tua mereka di mahkama tempoh hari. Meskipun senyum tawa menghiasi setiap perbualan, tapi jauh di sudut hati keperitan dan kesedihan itu dapat dilihat. Bayangkanlah, dalam keterpaksaan menerima kenyataan bahawa anak-anak ditangkap dengan pertuduhan yang 'pening lagi memeningkan', kedatangan mereka ke BP disambut pula dengan halangan bertemu dengan anak-anak. Sehinggakan salah seorang ibu sahabat ini berkata-'anak makcik ni pembunuh ke? bawak dadah ke? sampai makcik tak dibenarkan jumpa anak makcik??'. Hati siapa yang tahan bila seorang ibu mengalirkan air mata, dihalang bertemu anaknya yang pada mulanya hanya ditahan kerana 1 kesalahan motor.Mereka ke hulu ke hilir, dari satu BP ke BP yang lain semata-mata untuk meminta izin bertemu anak-anak.Malangnya,hajat mereka tetap tidak kesampaian.Bahkan mereka diminta untuk tidak mencari peguam dan hanya datang mendengar sebutan kes di mahkamah nanti. Panas jugak hati mendengarnya. Sanggup sekali mereka memperbodohkan ibu bapa tahanan yang sebenarnya tidak sah pun untuk di tahan.Dalam penat mengharung perjalanan yang jauh untuk sampai ke sini, tapi ini pula 'hadiah' yang mereka dapat dari BP. Sangat mengecewakan. Alhamdulillah, dalam kesusahan yang Allah uji ke atas mereka, Allah tetap kurniakan kemudahan. Allah memilih beberapa sahabat untuk jadi pemudah bagi urusan mereka...

( Oleh kerana keterbatasan waktu, post ini akan disambung lagi di lain masa. Ada banyak lagi peristiwa yang berlaku yang sememangnya menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa. Buat pembaca, saya mohon kita sama-sama solat hajat dan mendoakan agar 2 sahabat kita yang akan memulakan perbicaraan tidak lama lagi. Juga 3 orang lagi yang masih dicari-kononnya untuk membantu siasatan. Semoga Allah melimpahkan pertolonganNya yang tidak terbatas kepada mereka dan kita semua agar mereka semua bebas dari semua pertuduhan. Wallahualam... )
Read More

Wanita di sisi ISLAM

1

Category:





Setelah berada dalam kejahilan, masyarakat Ar
ab adalah masyarakat yang mula-mula sekali menerima cahaya Islam. Muhammad SAW yang menerima risalah kenabian selepas Isa A.S merupakan satu hadiah dan nikmat Allah yang paling besar untuk seluruh alam. Baginda diutuskan menjadi Nabi di tengah-tengah kelompok masyarakat yang sudah sakit hati nalurinya juga fitrahnya sebagai seorang manusia.

قال الله تعالى : وما أرسلناك الا رحمة للعالمين

" Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam " (Surah Al-Anbiya', ayat 107 )

Jesteru, Islam tersebar ke seluruh pelusuk negara Arab. Bahkan ketika dakwah Nabi dijalankan secara terbuka di Mekah, masyarakat yang dahagakan petunjuk datang dari dalam dan luar Mekah. Sehingga akhirnya Nabi Muhammad SAW menghantarkan Mus'ab Bin Umair untuk ke Madinah bagi mengajarkan ilmu agama. Datangnya Islam tentunya membawa kebahagiaan dan harapan baru pada diri masyarakat Arab ketika itu. Lebih-lebih lagi golongan wanita yang hidup mereka umpama barang gadaian ketika di zaman Jahiliyah sebelumnya. Islam mengangkat martabat wanita dengan setinggi-tingginya tanpa wujud penganiayaan. Wanita menjadi simbol kecantikan dan keindahan dunia, bahkan ia lebih baik dari seluruh dunia dan isinya.

قال النبي : الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة

Sabda Rasulullah SAW : "Dunia adalah bahan keseronokan, dan sebaik-baik keseronokan dunia adalah perempuan yang soleh" ( Hadith riwayat Muslim )


Bagaimana sebenarnya Islam mengangkat martabat dan kemuliaan seorang wanita? Juga di manakah keistimewaan seorang wanita di sisi Islam? Persoalan sebegini selalu ditimbulkan dan jawapan serta penghujahannya pasti mampu membuatkan mata tidak buta, hati tidak mati.


PEMINANGAN



Ji
ka diteliti di dalam Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah, ternyata banyak sekali perintah atau galakan-galakan juga tips-tips untuk memilih seorang wanita untuk dijadikan isteri. Walaupun secara tidak langsung, ia juga sebenarnya adalah tips-tips untuk memilih seorang lelaki untuk dijadikan suami.



1- قال النبي : تنكح المرأة لأربع لمالها ولحسابها ولجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك
Maksudnya : Dinikahi seorang wanita kerana empat perkara : harta, keturunan, kecantikan dan agamanya. Pilihlah yang beragama, kamu pasti beruntung. ( Hadith riwayat Bukhari )

2- قال النبي : عليكم بالأبكار فانهم أعذب أفواها وأنتق أرحاما وأرضى باليسير
Maksudnya : Hendaklah kamu memilih perempuan yang masih dara kerana mereka menuturkan kata-kata yang baik, mampu mempunyai anak yang ramai dan lebih reda kepada kehidupan yang susah. ( Hadith riwayat Ibn Majah )

3- قال النبي : ولا يخطب الرجل على خطبة أخيه حتى يترك الخاطب قبله أو يأذن له الخاطب
Maksudnya : Seorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh saudara (muslimnya ) sehinggalah dia meninggalkannya ( membatalkan pinangan ) atau dia mengizinkan peminangan itu. ( Hadith riwayat Bukhari ).

4- قال الله تعالى : وانكحوا الأيمى منكم والصلحين من عبادكم ماإمائكم
Maksudnya : Dan berkahwinlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu dan hamba
sahaya lelaki dan hamba sahaya perempuan yang soleh ( Surah An-Nuur, ayat 32 )


Ayat Al-Quran dan hadith-hadith diatas sedikit sebanyak memberi petunjuk atau 'guideline' kepada umat manusia tentang pemilihan pasangan hidup masing-masing. Secara ringkasnya antara ciri wanita yang disarankan oleh Rasulullah SAW ialah yang beragama, solehah, menuturkan kata-kata yang baik, redha kehidupan yang susah bersama suami dan bukan lah tunangan orang lain. Bila dilihat dengan mata kasar, ia seolah-ol
ah memberi satu kelebihan kepada goongan lelaki kerana berhak memilih hanya yang 'baik-baik' untuk dijadikan pasangan mereka. Tetapi jika dilihat dengan iman dan taqwa, ciri-ciri yang disenaraikan umpama satu nasihat daripada Rasulullah kepada para wanita di muka bumi agar memelihara kehormatan diri dan berusaha menjadikan diri hamba terbaik di sisi Allah. Ini kerana perkahwinan itu bukanlah ikatan yang terjalin sesama manusia, tetapi ia juga titi yang membawa wanita kepada Allah SWT. Golongan wanita pula perlu menyedari kebaikan yang dibina dan dibentuk dalam diri bukanlah kerana ingin memenuhi ciri-ciri di atas, akan tetapi ia adalah memenuhi tuntutan dan perintah Allah dan RasulNya.

PERKAHWINAN



Seperti yang telah disebutkan di atas, perkahwinan juga merupakan titi yang membawa wanita kepada Allah SWT. Justeru di dalam perkahwinan, Islam telah menggariskan keutamaan bagi golongan wanita demi menjaga maruah dan kehormatannya sebagai perhiasan dunia.

1- Wanita berhak ke atas perkahwinannya

قال النبي : لا تنكح الأيم حتى تستأمر ولا تنكح البكر حتى تستأذن قالوا يا رسول الله وكيف إذنها قال أن تسكت
Maksudnya : Janganlah kamu mengahwinkan janda melainkan setelah mendapat keputusannya. Jangan kamu mengahwinkan anak daramu melainkan setelah kamu meminta izin daripadanya. Sahabat bertanya : Ya Rasulallah, bagaimanakah dia mengizinkannya? Baginda menjawab: dia diam. ( Hadith riwayat Muslim )

2- Wanita berhak ke atas mas kahwin ( mahar ) perkahwinan

قال الله تعالى : وءاتوا النساء صدقاتهن نحلة
Maksudnya : Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.( Surah An-Nisa', ayat 4 )

قال الله تعالى : فلا تأخذوا منه شيئا أتأخذونه, بهتنا وإثما مبينا
Maksudnya : Maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu
mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan ( menyebabkan dosa ) yang nyata. ( Surah An-Nisa', ayat 20 )

3- Wanita berhak mendapat perlindungan

قال الله تعالى : أسكنوهن من حيث سكنتم من وجدكم ولا تضآروهن لتضيقوا عليهن
Maksudnya : Tempatkanlah isteri-isteri ( yang menjalani edahnya ) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti
mereka ( di tempat itu ) dengan tujuan kamu hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu ). ( Surah At-Talak, ayat 6 )

قال الله تعالى : وعلى المولود له, رزقهن وكسوتهن بالمعروف
Maksudnya : Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. ( Surah Al-Baqarah, ayat 233 )

4-Islam mengajarkan wanita menuju syurga

قال النبي : أيما امرأة ماتت وزوجها عنها راض دخلت الجتة
Maksudnya : Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya reda kepadanya, dia akan memasuki syurga. ( Hadith riwayat Tirmizi )

قال النبي : والذي نفسي بيده ما من رجل يدعو امرأته إلى فراشها فتأبى عليه إلا كان الذي في السماء ساخطا عليها حتى يرضى عنها
Maksudnya : Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamanNya! Seorang lelaki yang
mengajak insterinya ke tempat tidur tetapi dia enggan, penghuni langit akan marah kepadanya
sehinggalah suaminya reda kepadanya. ( Hadith riwayat Bukhari )


Terdapat banyak lagi bukti dan dalil di dalam Al-Quran dan Hadith Nabi yang menunjukkan betapa wanita diangkat tinggi oleh Allah di dalam Islam. Jangan dinilai ia dengan mata kasar, tapi nilailah ia dengan iman dan taqwa. Jika diberi keizinan oleh Allah SWT, saya akan cuba menyambung topik ini dengan menunjukkan dalil-dalil tentang kemuliaan wanita dalam aspek yang lain selain pertunangan dan perkahwinan. ( Ini pun sebab nak exam Fiqh Usrah, sebab tu saya mengambil kedua aspek ini ). Semoga tulisan ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua. Segala-galanya dari Allah SWT. Wallahua'lam..

وما جعل عليكم في الدين من حرج
" Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung keberatan dan susah payah dalam perkara-perkara agama..." Surah Al-Haj, ayat 78


Read More