Kematian Yang Hampir Tiba...

Category:



Pembacaanku pada buku APK terhenti tatkala hati kuat untuk menjengah blog-blog sahabat seperjuangan harakah. Dari 1 blog ke 1 blog, belum ada catatan yang mengetuk hatiku. Terhenti di blog Pohon Hijau Saifullah, seorang sahabat dari UIAM, satu khabar mengenai pemergian seorang lagi abnaul harakah dari UIAM yang pastinya langsung tidak ku kenali, saudara Ahmad Syukri,doa untuk allahyarham. Mungkin pemergianku untuk mengisi hujung minggu di luar varsiti menjadikan aku antara orang yang terlewat untuk mengetahui berita ini. Sedikit tersentak, betapa mudanya beliau sudah dipanggil menghadap Illahi. Ku teruskan lagi penerokaanku ke blog Kak Nurul yang baru ku kenali ketika menghadiri demonstrasi anjuran Gamis di Masjid Negara, kebetulan pula Kak Nurul merupakan teman akrab Kak Wan kesayanganku. Melihat link yang didaftar di blognya, pasti menggamit lagi hatiku untuk mengenali siapa gerangan Allahyarham Ahmad Syukri. Manakan tidak, semua entri di setiap blog dipenuhi dengan ingatan terhadap beliau. Satu-satu blog itu ku buka, ku teliti. Hingga membuatkan aku juga seperti mengenalinya. Melalui cerita-cerita itu, ku simpulkan bahawa allahyarham begitu disenangi oleh sahabat-sahabatnya. Senang cerita, beliau adalah seorang pencinta tarbiyah dan jemaah. Hidupnya dipenuhi dengan menabur bakti, kerana baginya dia tidak punya harta dan ilmu, maka apa yang boleh beliau lakukan ialah dengan mengorbankan tenaga dan penat lelah. Besarnya pengorbanan beliau sebenarnya. Justeru aku bermuhasabah sendirian. Sebak di hati kerana pemergiannya masih mampu memberi pengajaran buatku, walau tidak pernah sesaat aku mengenalinya. Sejauh mana pengorbanan yang telah ku lakukan? Sebanyak mana penat lelah telah ku curahkan? Sebesar mana bakti telah ku pertaruhkan? Atau aku hanya picisan yang telah banyak menyusahkan jemaah? Atau aku juga antara 'virus' yang menghancurkan jemaah? Atau aku kah orangnya yang dalam diam sebenarnya membantutkan pergerakan jemaah? Inilah hikmah bila kematian tidak pernah diberitakan, dibiar manusia memilih jalan hidupnya, dibiar manusia menjejak cinta tuhannya. Sama ada manusia memilih untuk mengorban diri untuk agamaNYA, atau mengorban diri demi nafsunya. Lantas aku teringat kisah perginya seorang kekasih, Muhammad Bin Abdullah, Rasulullah SAW. Perginya seorang sahabat yang berjasa sudah mampu mencoret 1001 kenangan, apatah lagi perginya seorang pembawa risalah kenabian. Yang dengannya, kita semua mengenali Islam. Bagaimana agaknya perasaan para Sahabat ketika itu? Saidina Umar sendiri yang terkenal dengan sikap keras hatinya tidak boleh menerimanya, bagaimana pula sahabat yang lain? Di saat tanda-tanda akan pemergian Rasulullah kelihatan, 4 khalifah pengganti nabi berusaha menahan sebak. Selesai membacakan khutbah terakhir, dalam keadaan lemah, Rasulullah turun dari mimbar. Semakin menggunung sebak para sahabat melihat keadaan Rasulullah. Berhadapan dengan detik sakaratul maut, di sisi Rasulullah puterinya Fatimah Az-zahra dan menantunya Saidina Ali. Salam Izrail disambut Fatimah, bahkan tanpa mengetahui pemuda itu adalah Izrail, Fatimah menghalangnya memasuki rumah Rasulullah. Namun Rasulullah menjemputnya masuk, kerana mengetahui Allah mengutuskan Izrail untuk mencabut nyawa baginda. Justeru Rasulullah bertanyakan tentang Jibril yang tidak kelihatan hadir bersama Izrail. Lalu Jibril pun turun dan bertemu baginda. Malaikat yang menyampaikan amanah kenabian pada Rasulullah itu juga tidak sanggup untuk melihat detik Rasulullah berhadapan dengan maut. Walaupun baginda mengadu betapa sakitnya sakaratul maut itu, Rasulullah tetap berdoa "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Maka beradalah Rasulullah di ambang ajal, nyawa baginda bakal dicabut dari jasadnya yang berjasa. Baginda berbisik pada menantunya Karamallahu Wajwah, "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Maka berjurailah air mata puterinya dan para sahabat yang menanti di luar bait. Berpelukan sesama mereka, tidak tertahan menanggung kesedihan kerana mengetahui akan berlaku perpisahan yang menyakitkan. Maka buat kali terakhir Rasulullah menyebut " Ummati, ummati, ummati...". Bermula detik itu, berakhirlah sebuah coretan kehidupan Rasulullah. Berpisahnya ruh dari jasad Baginda sekaligus mencipta perpisahan antara baginda dengan umat yang dicintainya. Terbukalah pintu langit, bersusun para malaikat menyambut kehadiran ruh Rasulullah. Bermulalah perjuangan para sahabat menyambung risalah kenabian. Meski sakit pedih perpisahan itu, mereka tahu amanah itu mesti diteruskan. Sehinggakan di saat ada sekelompok sahabat yang mengurus jenazah Rasulullah, sekelompok lagi berhimpun untuk memilih pengganti Rasulullah. Tidak lain hanya untuk memastikan perjuangan Islam itu tidak terhenti dengan perginya Rasulullah.Rindu kami padamu Rasulullah, tidak akan terhenti hingga nyawa kami juga berpisah dari jasad...

”Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam barisan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Fajr: 27-30).

Ya Allah. Sesungguhnya hanya padaMU ku berserah. Letakkan aku dalam saff pejuang agamamu. Yang tiada lain diharapkan hanya keredhaanMU. Yang hidup tidak boleh dipisahkan dari tarbiyah dan jemaah. Biar dicampak ke mana pun, jihad itu tetap menjadi pilihan. Ya Allah, ketika kematian menjengah, biar ku tenggelam dalam cinta padaMU, biar ku hanyut dalam rindu untuk bertemuMU.


Sesungguhnya kematian itu pasti...

Comments (0)

Post a Comment